My Add

Monday 12 August 2013

Jeritan jiran selamatkan nyawa

Oleh TOREK SULONG
 * BADRUL Hisham Abdul Rashid melihat saki baki rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.
PASIR PUTEH, AHAD, 11 Ogos, 2013: Seorang kanak-kanak perempuan yang sedang nyenyak tidur terpaksa diangkat bapanya dalam keadaan sesak nafas apabila kepulan asap tebal memenuhi ruang rumah mereka yang terbakar di Kampung Telaga Papan di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, seorang tukang rumah Badrul Hisham Abdul Rashid, 37, bersama dua anaknya, Mohd. Fahmi Badrul Hisham, 13, dan Nor Ain Khalisa, 4, sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumah mereka.

Badrul Hisham hanya menyedari rumahnya terbakar apabila terdengar bunyi jeritan suara jiran yang sedang bertungkus-lumus mengangkut air untuk memadam kebakaran ketika hampir sebahagian rumahnya hangus dijilat api.

Beliau berkata, ketika membuka mata dan bangkit daripada tidur, dia terkejut melihat ruang tamu rumahnya sudah dipenuhi asap tebal yang datang dari arah sebuah bilik tidur.

"Saya dalam keadaan sesak nafas mengejutkan Mohd. Fahmi dan mendukung Nor Ain Khalisa, 4, keluar dari rumah melalui pintu utama bahagian hadapan untuk menyelamatkan diri.

"Kami mungkin rentung sekiranya tidak mendengar jeritan jiran yang bersusah payah membantu memadamkan api termasuk menyelamatkan sebuah motosikal milik saya yang diletakkan di halaman rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Badrul Hisham, mereka tiga beranak tertidur selepas pulang menghadiri kenduri kahwin di rumah seorang rakan, manakala isterinya, Azizah Abdul Latif berada di rumah keluarganya di Kampung Gong Datuk.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, 14 anggota bomba bersama dua jentera dari daerah ini, Besut dan Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.30 petang dan berjaya memadam kebakaran dalam tempoh 20 minit.

"Kerugian akibat kemusnahan harta benda dalam tragedi ini dianggarkan berjumlah RM90,000 termasuk wang tunai RM3,000, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman turut menghulurkan bantuan kecemasan bagi membolehkan keluarga berkenaan membeli keperluan makanan dan pakaian.

Zawawi berkata, bantuan membina semula rumah mangsa akan dibuat secara gotong-royong dalam tempoh terdekat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment