My Add

Wednesday 21 August 2013

Johor perluas beri rebat air kepada golongan miskin

NUSAJAYA, RABU, 21 Ogos, 2013: Kerajaan negeri Johor akan memperluaskan pemberian rebat air daripada mereka yang memerlukan setakat ini kepada golongan miskin dan miskin tegar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad berkata, sejak diperkenalkan pada Nov 2010, sebanyak 825 akaun golongan itu menerima rebat yang bertujuan menjaga kebajikan mereka.

"Setakat ini kerajaan negeri memberikan rebat air kepada kumpulan sasar yang benar-benar perlu. Bagi golongan miskin tegar, mereka menikmati 20 meter padu air secara percuma sementara untuk golongan miskin mereka diberikan 10 meter padu air percuma.

"Oleh itu, kerajaan bercadang akan memperluaskan lagi penerima rebat ini dalam jangka masa terdekat dan kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam Johor untuk mendapatkan senarai mereka yang benar-benar layak," katanya.

Hasni berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Mohammad Taslim (Pas-Maharani) pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, di sini hari ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment