My Add

Wednesday 7 August 2013

Juhar mahu rakyat sabah jadikan Aidilfitri wadah kukuh perpaduan

KOTA KINABALU, RABU, 07 Ogos, 2013: Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menyeru rakyat Sabah supaya menjadikan Aidilfitri sebagai wadah untuk mengeratkan ukhuwah dan mengukuhkan perpaduan.

“Ini boleh kita jayakan bersama melalui amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan antara satu sama lain yang menjadi amalan dan tradisi kita dalam menjernihkan semula hubungan dan persefahaman,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri, di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat di negeri ini tanpa mengira kaum dan kepercayaan supaya memanfaatkan cuti Hari Raya dengan mengunjungi saudara mara bagi mengukuhkan lagi tali persaudaraan dan mengeratkan silaturahim.

“Ini adalah sebahagian daripada transformasi iaitu transformasi ke arah perpaduan, transformasi kepada permuafakatan, transformasi kepada kesepaduan dan kesatuan yang jitu demi kebaikan seluruh rakyat dan negara,” katanya.

Juhar berharap pengalaman berpuasa selama sebulan Ramadan memberi keinsafan kepada umat Islam terhadap kesengsaraan dan penderitaan hidup golongan kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim.

“Keinsafan yang lahir akan mengajar kita erti kehidupan dan keperimanusiaan, maka akan ringan tangan menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang memerlukan,' katanya.

Juhar mengajak semua pihak supaya sentiasa menjaga keselamatan semasa musim perayaan kerana kajian mendapati kadar kemalangan agak tinggi semasa musim perayaan yang disumbangkan oleh faktor kecuaian manusia.

"Ini bererti para pengguna jalan raya sama ada pemandu atau pejalan kaki perlu lebih berhati-hati bagi mengelak tragedi yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat harus bersyukur kerana dapat menyambut dan merayakan Aidilfitri dalam suasana yang aman damai.

“Inilah nikmat yang tidak ternilai harganya kepada rakyat dan negara kita serta berkat jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang sentiasa menabur bakti bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terpelihara,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment