My Add

Thursday 22 August 2013

Kabinet dengar suara orang muda

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
 
 
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Mesyuarat Kabinet hari ini membuat keputusan membatalkan cadangan menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam status laman Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas keputusan tersebut, Khairy di dalam laman sosial tersebut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh kerana mendengar suara orang muda.

''Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan (senarai hitam) di bawah CCRIS.

''Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri-menteri Pendidikan kerana mendengar suara-suara orang muda,'' katanya dalam laman sosial berkenaan.

Isu menyenaraihitamkan peminjam PTPTN yang gagal melunaskan pinjaman mula tercetus apabila Idris dalam kenyataannya kelmarin menyatakan mulai bulan ini, lebih 400,000 peminjamnya yang gagal membayar balik akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman di mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Idris berkata, bagi tujuan pelaksanaan PTPTN akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyenaraikan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman melalui CCRIS.

Walau bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui oleh banyak pihak termasuk Pergerakan Pemuda UMNO.

Khairy yang juga Ketua pergerakan itu dalam kenyataannya semalam menegaskan Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Khairy berkata, sepatutnya kerajaan mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang enggan melunaskan hutang PTPTN dan bukannya menyenaraihitamkan kumpulan terbabit.

Sementara itu dalam sidang akhbar hari ini, beliau berkata, terdapat pelbagai mekanisme lain boleh diambil oleh PTPTN selain menyenaraikan peminjam dalam CCRIS.

Menurutnya, PTPTN boleh mengambil tindakan mahkamah kepada peminjam tegar yang bermasalah membuat bayaran balik.

"Difahamkan bilangan peminjam tegar adalah sekitar lima hingga enam peratus sahaja. Jadi tindakan untuk menyenarai hitamkan peminjam ini tidak perlu kepada mereka yang lambat bayar, mereka ini mungkin ada minta pengecualian kerana masih belum mendapat kerja dan sebagainya.

"Ada banyak mekanisme lain tetapi tidak perlu tambahkan dengan CCRIS, ini bukan hanya menakutkan peminjam tegar tetapi juga peminjam yang bayar lambat tidak mengikut jadual," katanya.

Pada masa sama, Khairy berkata, tindakan menyenaraikan peminjam dalam CCRIS hanya akan memberikan persepsi negatif kepada PTPTN.

"Kalau mereka disenaraikan dalam CCRIS, bagaimana graduan ini dapat membuat pinjaman membeli kereta dan motosikal untuk memudahkan mereka bekerja.

"Sekiranya mereka tidak bekerja pula, bagaimana mereka akan membuat pembayaran balik. Jadi, kita tidak boleh biarkan mereka dalam putaran ganas ini," katanya

Dalam hal ini, katanya, Pemuda UMNO bukanlah menyokong kepada peminjam agar tidak membayar hutang tetapi tidak perlu menyenaraikan mereka terbabit dalam CCRIS. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment