My Add

Wednesday 21 August 2013

Kaji semula kaedah kutipan pinjaman

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa kerajaan mengkaji semula kaedah kutipan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraihitamkan peminjam menerusi sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS).

Setiausaha Agungnya, Zambri Mohd. Isa berkata, kaedah tersebut dilihat agak radikal dalam persekitaran ekonomi negara yang kurang memberangsangkan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Sistem ini akan mengakibatkan peminjam PTPTN tidak berupaya meminjam dari institusi kewangan bagi membeli rumah, kenderaan dan sebagainya.

"Usaha untuk mengutip balik hutang PTPTN perlu dilakukan secara efektif dan berterusan agar dana itu dapat digunakan semula kepada generasi yang akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bermula bulan ini, lebih 400,000 peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman mereka akan disekat melakukan sebarang pinjaman dari mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Katanya, bagi melaksanakan tindakan itu, PTPTN akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyenaraihitamkan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman melalui sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS).

Dalam pada itu, Zambri mencadangkan untuk mengadakan sidang meja bulat dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Perwakilan Pelajar untuk menangani masalah demikian.

"Justeru, GPMS mohon kerajaan mengkaji semula dan menjemput badan-badan berkaitan untuk berbincang dan mencari kaedah yang sesuai untuk kutip balik hutang PTPTN," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment