My Add

Saturday 3 August 2013

Kampus Antarabangsa Unisza bakal operasi di KL

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Kampus Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di Kuala Lumpur akan beroperasi 1 September ini dengan pengambilan awal pelajar seramai 500 orang.

Kampus yang terletak di Bangunan Takaful, Jalan Kampung Atap, Kuala Lumpur ini menawarkan program untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd.

Naib canselor Unisza, Profesor Dr. Yahaya Ibrahim berkata, kampus tersebut ditubuhkan lanjutan daripada usaha mempromosi dan pengantarabangsaaan Unisza yang dijalankan di beberapa buah negara beberapa bulan yang lepas.

"Ramai pelajar dari luar negara berminat untuk mendaftar dengan Unisza, tetapi kurang berminat untuk belajar di Terengganu, jadi kita mengambil langkah menubuhkan kampus Antarabangsa di Kuala Lumpur ini untuk mereka.

"Tetapi mereka juga boleh memilih sama ada untuk belajar di kampus yang terletak di Terengganu atau di Kuala Lumpur," katanya pada sidang media Sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Hotel Tabung Haji di sini.

Untuk sesi pertama ini, kampus ini akan beroperasi dengan pengambilan pelajar sulung seramai 500 orang pelajar yang terdiri daripada 200 orang pelajar dari negara China dan selebihnya dari negara lain termasuk Indonesia dan Timur Tengah.

Menurutnya, kampus ini menawarkan pelbagai bidang antaranya ialah Bidang Pengurusan, Undang-Undang, Teknologi Maklumat, Bahasa dan Komunikasi di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd.

"Kita juga menawarkan Program Eksekutif untuk pelajar tempatan, yang mana ini merupakan satu kemudahan kepada kakitangan kerajaan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata Unisza juga turut melancarkan pautan baharu untuk program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd dalam laman web universiti tersebut yang boleh diakses pada www.unisza.edu.my.

"Pautan laman web terbaharu ini sangat penting dan diharapkan ia dapat diakses oleh para pelajar dari seluruh dunia yang ingin tahu mengenai Unisza dan peluang melanjutkan pelajaran di universiti ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment