My Add

Sunday 11 August 2013


KDR1M ditambah pelbagai kemudahan

 Abdul Rahman Manan
KUALA LUMPUR, SZBTU, 10 Ogos, 2013: Program Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) akan diperluaskan penggunaannya dengan pelbagai kemudahan lain yang dijangka memberi lebih banyak faedah kepada pemegang kad tersebut.

Pengerusi Informasi Malaysia (Info-Malaysia), Datuk Abdul Rahman Manan berkata, buat masa ini pemilik kad tersebut boleh menikmati segala manfaat dengan mendapatkan diskaun antara lima hingga 50 peratus dan perkhidmatan Touch n Go bukan sahaja di tempat-tempat utama malah seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Untuk perancangan dalam waktu terdekat kita akan tambah penggunaanya dengan menawarkan perkhidmatan kad pembayaran, rebat, pembayaran atas talian, payment gateway, e-marketplace dan e-komuniti," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Dalam masa sama, katanya, pihaknya juga sedang berusaha menyatukan kad tersebut kepada semua kad diskaun yang ada di negara ini di bawah satu pengurusan.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat tersebut, KDR1M akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah selaras dengan transformasi yang dijalankan oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat dalam menghadapi kenaikan kos harga barang.

Setakat ini, katanya, sebanyak 1,090 klinik dan lebih 5,200 peniaga telah menyertai program KDR1M sehingga Januari lepas dengan 15,000 orang pemegang KDR1M manakala 10,000 orang telah melakukan proses pra pendaftaran untuk mendapatkan kad itu.

Pihaknya menyasarkan untuk menarik kira-kira 10 juta keahlian KDR1M untuk tempoh akan datang dan usaha promosi kad itu sedang giat dijalankan menerusi iklan-iklan dalam media masa dan brosur yang diedarkan ke seluruh negara.

"Kita minta semua rakyat Malaysia yang berminat untuk mendapatkan kemudahan diskaun melalui program ini supaya menghubungi pejabat dan membuat pra pendaftaran terus di pejabat Info-Malaysia di Putrajaya," katanya.

Abdul Rahman berkata, selaras dengan perkhidmatan baharu yang ditawarkan itu, pihaknya juga dalam proses menggantikan kad lama kepada kad baharu yang lebih komprehensif.

Beliau berkata, proses penggantian akan mengambil masa dua bulan dari sekarang dan Info-Malaysia akan menghubungi pemegang kad sementara bagi tujuan tersebut dan tiada bayaran dikenakan untuk proses penggantian kad baharu itu.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lanjut tentang program KDR1M boleh melayari www.informasimalaysia.com.my/. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment