My Add

Tuesday 13 August 2013

Kedah sasar 500,000 lawat muzium

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
 
 Aminuddin Omar
ALOR SETAR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Lembaga Muzium Negeri Kedah menyasarkan jumlah pengunjung yang melawat enam muzium di negeri ini meningkat sehingga 500,000 orang sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar berkata, sasaran itu menyaksikan peningkatan kira-kira 200,000 pengunjung berbanding lebih 300,000 orang pada tahun lalu.

Katanya, pelbagai program menarik sepanjang tahun ini dirancang di muzium-muzium negeri untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung bagi mencapai sasaran berkenaan.

"Kita juga menganjurkan Festival Muzium Kedah pada November ini yang dijadual berlangsung selama seminggu. Promosi secara besar-besaran akan diadakan bagi menarik seramai mungkin pengunjung," katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat untuk membaik pulih dan menambah baik Muzium Padi, Balai Seni Negeri serta Muzium Negeri di sini melibatkan kos lebih RM3 juta.

Katanya, Muzium Padi berusia 10 tahun di Gunung Keriang memerlukan penambahbaikan termasuk dari segi landskap dalaman kerana sudah agak usang selain membaik pulih kerosakan pada lukisan dinding yang retak.

Menurutnya lagi, Balai Seni Negeri pula mengalami kerosakan pada bahagian bumbung menyebabkan kebocoran pada siling dan bangunan itu perlu dicat semula bagi menjadikannya bertambah menarik.

"Landskap hadapan Balai Seni Negeri pula perlu ditambah baik selain kerosakan sebuah bilik di dalam bangunan itu yang perlu diperbaiki," katanya.

Kata beliau, kerja-kerja membaik pulih dan penambahbaikan ketiga-tiga muzium berkenaan diharap dapat memberi kemudahan serta keselesaan kepada pengunjung.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra berkata, usaha berkenaan akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan daripada kerajaan Pusat.

"Tempat yang berlaku kerosakan dan perlu ditambah baik sudah dikenal pasti manakala kertas cadangan juga telah dikemukakan kepada kementerian terlibat. Cuma kita sedang menunggu peruntukan untuk dilaksanakan secepat mungkin," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment