My Add

Monday 12 August 2013

Kencing tikus: Kempen besar-besaran 24 Ogos ini

 Abdul Rahman
KOTA KINABALU , AHAD, 11 Ogos, 2013: Kerajaan akan melancarkan kempen besar-besaran bagi mengatasi penularan wabak kencing tikus atau leptospirosis di negara ini yang dilihat amat berbahaya dan perlu diatasi dengan segera.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kempen pelancaran kawalan tikus itu akan dilakukan serentak di seluruh negara pada 24 Ogos ini yang akan dilancarkan secara rasmi oleh beliau sendiri di Kota Kinabalu.

"Beberapa bulan lalu insiden penyakit kencing tikus banyak disebarkan di dalam media, jadi kita telah mengambil inisiatif melancarkan kempen anti wabak kencing tikus ini.

"Ini penting kerana tidak ramai yang mengetahui bahaya penyakit ini dan penyebab penyakit ini adalah tikus-tikus yang berkeliaran di merata-rata tempat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Taman Kingfisher di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kempen tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai cara pencegahan dan kawalan wabak penyakit itu.

Menurutnya, selain bersama-sama menghapuskan tikus, seluruh masyarakat termasuk pemilik restoran hendaklah memastikan persekitaran premis mereka sentiasa bersih supaya tidak mengundang kehadiran haiwan perosak itu.

Dalam pada itu, beliau berharap, semua pihak berkuasa tempatan di negara ini sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan awam.

Katanya, tindakan yang tegas perlu diambil kepada mana-mana individu yang terbukti menjadi punca kepada pencemaran dan penularan wabak penyakit yang boleh membahayakan orang awam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment