My Add

Thursday 22 August 2013

Keprihatinan kerajaan bawa pulang pelajar disambut baik


Abd. Rahim Samad 
 KUALA LUMPUR 21 Ogos - Persatuan Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (Perubatan) menyambut baik keprihatinan kerajaan yang menawarkan tiket penerbangan kepada pelajar Malaysia yang memilih untuk balik setelah keadaan semasa di Mesir menunjukkan situasi tidak menentu.

Presidennya, Abd. Rahim Samad berkata, sejurus kenyataan rasmi dari pihak Education Malaysia Egypt (EME) berkenaan status terkini pelajar Malaysia di Mesir, Perubatan telah mengadakan sesi perbincangan dan menyarankan semua ahli agar mematuhi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh EME itu yang meminta pelajar pulang ke tanah air.

Jelasnya, ini ekoran tahap keselamatan yang tidak dapat dijangkakan, lebih-lebih lagi setelah melihat tiada unsur untuk insiden di Mesir ini akan berakhir dalam masa terdekat.

"Oleh itu, atas faktor keselamatan, kami mencadangkan kepada semua ahli untuk menerima tawaran penerbangan komersial sehala yang ditawarkan oleh EME dan pihak kedutaan.

"Kami turut berharap semua ahli dapat bertenang dan tidak panik dengan keadaan yang berlaku dan dapat berfikir dengan rasional serta membuat keputusan sebaiknya untuk keselamatan bersama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk memulakan operasi membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir bermula malam semalam, selepas kerajaan mendapati pergolakan di Mesir semakin tidak menentu.

Dalam pada itu tambah Abd. Rahim, para pelajar perubatan di Mesir juga telah dimaklumkan berkenaan penangguhan peperiksaan mereka di universiti-universiti pengajian.

"Setelah kami merujuk kepada EME dan kedutaan, mereka memaklumkan bahawa urusan peperiksaan dan kuliah akan diselesaikan oleh EME dan perkara ini telah pun mendapat persetujuan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir yang seterusnya akan dipanjangkan kepada pihak universiti. Penangguhan itu melibatkan semua peperiksaan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Badan Kebajikan Mahasiswa/Mahasiswi Islam Pahang (BKMIP) Zulfadli Zakariah berkata, pihaknya telah mengumpul data para ahli dan nama-nama mereka telah diserahkan kepada pihak Kedutaan Malaysia untuk urusan pulang.

"Setakat ini persiapan untuk pulang ke tanah air sudah dilakukan, namun harus menunggu di peringkat kedutaan bagi menentukan tarikh dan waktu penerbangan untuk kesemua ahli yang memilih pulang ke tanah air," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment