My Add

Monday 5 August 2013

Keputusan selepas Aidilfitri

Oleh FADZIL ARIFFIN

 * PENGENALAN perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi dilihat berpotensi meningkatkan perhubungan antara Kuala Lumpur dan kota Singapura.
KUALA LUMPUR, AHAD, 04 Ogos, 2013: Kerajaan Malaysia kini menunggu keputusan persetujuan dari Singapura berhubung perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di antara kedua-dua negara yang dijangka selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju terhadap pembinaan rel kereta api laju antara Malaysia dan Singapura, tetapi masih menunggu persetujuan akhir daripada pemerintah negara jiran itu.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, walaupun Malaysia secara prinsipnya bersetuju dengan projek itu, tetapi Singapura perlu menilai kajian teknikal projek itu terlebih dahulu.

Malaysia pula membentuk dua jawatankuasa iaitu di peringkat kementerian dan teknikal yang menilai laluan projek tersebut.

"Namun, kesemuanya masih berada di peringkat awal dan maklumat lebih terperinci belum dikenal pasti lagi.

"Semua maklumat termasuk kos dan pembiayaan hanya dapat diumumkan selepas Singapura menilai kajian secara teknikal," kata Syed Hamid kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, media Singapura melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, kedua-dua belah pihak itu hanya akan bertemu selepas perayaan Aidilfitri pada akhir bulan ini.

Hasrat pembinaan rel kereta api berkelajuan tinggi diumumkan oleh kedua-dua buah negara pada awal tahun ini dengan perkhidmatan pengangkutan kereta api yang disediakan antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya memakan masa selama 90 minit.

Projek ini telah menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa, termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol untuk merebut pelbagai tender yang dianggarkan bernilai sekitar RM30 bilion dan dijangka siap pada tahun 2020.

Mohd. Nur Ismal berkata, industri akan menjangka bidaan kompetitif sebaik sahaja tender mula dibuka tahun depan.

Laporan media antarabangsa sebelum ini turut mendedahkan, rel Malaysia-Singapura itu merupakan sebahagian daripada pembinaan rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan antara Singapura dan Kunming, China dengan melintasi beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment