My Add

Wednesday 21 August 2013

Kerajaan cadang ambil alih keseluruhan operasi AES

PUTRAJAYA, SELASA, 20 Ogos, 2013: Kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) daripada pengendali sedia ada.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada penilaian holistik yang dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Keputusan tersebut akan dibincang dan diperhalusi dalam jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bagi menangani pelbagai isu yang timbul berkaitan AES.

"Jawatankuasa ini akan melibatkan semua pihak, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan bagi memastikan semua isu dibangkitkan dapat ditangani dan berjalan lancar.

"Dalam isu AES ini, antara perkara yang perlu ditangani ialah isu pemegang konsesi dan pengguna yang telah disaman termasuk isu persiapan dan tenaga kerja yang mencukupi oleh JPJ dan PDRM untuk mengambil alih operasi ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan baru-baru ini berkata, kerajaan akan menilai semula penggunaan AES selepas berakhirnya sambutan Aidilfitri berikutan terdapat banyak rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan sistem itu yang menggunakan orang ketiga untuk mengurus operasi dan mengutip saman.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, satu jawatankuasa kecil perundangan yang dipengerusikan Peguam Negara juga akan diwujudkan bagi melihat secara khusus status pembayaran saman, kes tunggakan di mahkamah dan penyelarasan kadar saman.

Katanya, pihak Kementerian Kewangan pula akan menumpukan urusan pengambilalihan saham daripada syarikat konsesi kepada syarikat milik penuh kerajaan.

Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat itu turut memutuskan supaya sistem AES diselaraskan dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang membolehkan lesen memandu pesalah lalu lintas digantung sekiranya gagal menjelaskan saman ataupun melakukan kesalahan berulang kali.

Mengulas isu Op Selamat sempena Aidilfitri yang berakhir Khamis lalu, Hishammuddin berkata, sebanyak 258 kemalangan maut dicatatkan iaitu peningkatan sebanyak 14.2 peratus berbanding tahun lalu iaitu 226 kes.

Sementara itu, menyentuh isu syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) yang tidak akan diswastakan, beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri supaya syarikat itu diberi peluang untuk memperkukuhkan kedudukannya.

"Dulu MAS pernah diswastakan tapi tidak selesai juga masalah, akhirnya kerajaan terpaksa ambil alih, cadangan penswastaan ini terlalu awal dan bukan masanya lagi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment