My Add

Sunday 25 August 2013

Kerajaan komited kembangkan ekonomi digital

 *NAJIB bersama para penerima Anugerah Usahawan Jalur Lebar Cemerlang 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ahmad Shabery Cheek (dua, kiri).
KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited mengembangkan ekonomi berteraskan digital dalam kalangan rakyat menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menurut Perdana Menteri, komitmen itu merangkumi usaha kerajaan mengurangkan jurang digital khususnya antara penduduk di pedalaman dan kawasan bandar termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Merujuk kejayaan usahawan jalur lebar di bawah program Get Malaysia Business Online (GMBO) antaranya Kabilah Abd. Hassan memperoleh pendapatan RM20,000 sebulan melalui pasaran produk berasaskan rumpai laut secara online, menurutnya, perkara itu seharusnya dijadikan contoh kejayaan penggunaan jalur lebar secara positif untuk mengubah kehidupan.

"Masa depan kita dalam dunia ekonomi digital banyak bergantung kepada bagaimana kita membangun, memelihara dan memanfaatkan ICT. Cara kita berniaga, mengembara, mentadbir dan belajar, semuanya mampu berkembang dan berubah dengan ICT.

"Namun, kita (kerajaan) tidak akan melupakan rakyat di pedalaman dan komited mengurangkan jurang digital khususnya melalui Program Pembekalan Perkhidmatan Universal (USP) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Usahawan Jalur Lebar (BEE) Cemerlang 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Sebanyak lapan usahawan online yang mendapat manfaat daripada Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) menerima anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf pencapaian mereka yang berjaya membangun dan mentransformasi perniagaan masing-masing.

Selain Kabilah yang memasarkan produknya menerusi laman www.kabilahabdhassan.blogspot.com, penerima lain adalah pengusaha produk kekabu, Zaidi Awang (www.bshteguh.blogspot. com), renjer sungai, Mohd. Saiful Isa (www.renjersungai.blogspot.com) dan usahawan pakaian wanita dan aksesori, Maryanne Low (www.thepoplook. com).

Penerima lain, pembuat parang dan sarung parang, Zamri Wahid (www.zamri-tukangparang.blogspot.com), usahawan aksesori dan hiasan, Hiral Doshi (www.zenithdivas.com.my), penjual kuih tradisional, Rapeah Hassan (www.peahbakery.com.my) dan usahawan OKU, Noor Aishah Ariffin yang mahir dalam kraftangan benang kait (www. kraftkaki.blogspot.com).

Najib berkata, perkembangan teknologi digital yang mendapat sokongan padu rakyat diyakini mampu melonjak negara ke tahap lebih tinggi, berjaya dan diiktiraf di peringkat global.

"Saya melihat banyak perkara boleh kita terokai selain meningkatkan inovasi dengan penggunaan jalur lebar dan ICT. Untuk itu, saya mencabar pemain industri digital mengembangkan inovasi dan siapa tahu, suatu hari nanti, kita akan dapat melahirkan bakat-bakat tempatan yang hebat seperti Mark Zuckerberg (Pengasas Facebook) dan Larry Page (Pengasas Google)," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan turut melancarkan program Digital Malaysia (DM) bertujuan menjadikan negara ini sebagai pemain utama dalam ekonomi digital.

Katanya, program itu bermatlamat meningkatkan pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (GNI) ICT kepada 17 peratus menjelang 2020 berbanding 10.5 peratus pada 2010.

Program itu juga, ujarnya, bermatlamat menjana sebanyak 160,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi selain menarik pelabur-pelabur baharu bernilai RM31.1 bilion.

"Sepanjang perjalanan DM pada 2011 dan tahun lalu, kita berjaya membangunkan Rangka Kerja Ekonomi Digital selain idea membangunkan lapan projek baharu. Berikutnya, empat inisiatif diluluskan tahun lalu untuk dilaksana di bawah DM yang memfokus kepada usahawan digital, belia serta usahawan kecil dan sederhana," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment