My Add

Tuesday 6 August 2013

Kerajaan mahu orang ramai sumbang tenaga solar untuk sumber elektrik

JITRA, SELASA, 06 Ogos, 2013: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menggalakkan orang ramai menyumbang tenaga boleh diperbaharui kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usaha kerajaan menambah bekalan tenaga elektrik.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata di negara ini orang ramai boleh menggunakan tenaga solar untuk dijual kepada TNB sekaligus dapat mengurangkan kos syarikat itu yang membeli gas dan arang batu dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata individu yang terlibat juga bukan sahaja dapat membantu kerajaan untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui malah turut memperoleh pendapatan sampingan hasil penjualan tenaga solar yang dibekalkan kepada TNB.

"Kalau di negara luar seperti di Eropah mereka dah guna tenaga solar serta kincir angin untuk dapatkan tenaga elektrik. Kita sekarang baru guna satu peratus tenaga itu dan mahu peratusan itu meningkat dari masa ke semasa," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media Kedah di sini malam tadi.

Beliau berkata, sejak program itu dilancarkan dua tahun lepas, kira-kira 2,000 orang yang terlibat dalam program itu dan ia hanya tertumpu di Lembah Klang.

Mahdzir berkata, kementerian berkenaan komited untuk menggiatkan lagi promosi program itu di seluruh negara untuk membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini menyumbang tenaga itu untuk kegunaan harian.

"Kami mahu orang ramai terlibat kerana kerajaan sangat serius untuk hasilkan elektrik menerusi tenaga itu. Sekarang tenaga itu masih lagi kecil dan berharap akan mencapai sasaran dalam tempoh tertentu," katanya. 

Beliau berkata orang ramai yang berminat boleh menghubungi pejabat Sustainable Energy Development Authority of Malaysia (Seda) iaitu sebuah agensi yang menguruskan tenaga boleh diperbaharui untuk mendapatkan maklumat lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment