My Add

Thursday 22 August 2013

Kerajaan perlu tegas terhadap Ustaz Wan Ji - Irmohizam

 Irmohizam Ibrahim
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Majlis Belia Selangor mendesak kerajaan melalui agensi berkaitan seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera bertindak terhadap individu yang didakwa secara terbuka menghasut orang ramai untuk meruntuhkan Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja.

Presidennya, Datuk Irmohizam Ibrahim menegaskan, hanya melalui tindakan tegas dan segera sahaja mampu untuk menghentikan usaha-usaha jahat seperti itu, khususnya melibatkan umat Islam sendiri untuk menghancurkan negara.

Beliau turut mengajak semua pihak bersatu menyelar dan menolak usaha individu bergelar Ustaz Wan Ji itu untuk menghapuskan kuasa sultan pada 2030 kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perlakuan ini perlu dicegah melalui tindakan undang-undang yang tegas memandangkan didapati semakin banyak usaha-usaha jahat dikesan untuk menamatkan sistem raja berperlembagaan.

"Saya yakin ini merupakan agenda pihak tertentu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara republik dan usaha ini perlu ditentang habis-habisan oleh semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang penyebaran video bertajuk [TERGEMPAR] Ust Wan Ji Hapuskan Sistem Sultan yang dimuat naik pada Jun lalu di YouTube, memaparkan seorang penceramah dikenali sebagai Ustaz Wan Ji sedang memberi penerangan tentang perancangan tersebut.

Sambil melakar peta perancangan di papan putih, 'ustaz' berkenaan dalam keadaan sedang memberikan penerangan, bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara republik dengan menghapuskan kuasa sultan pada 2030.

Mengulas lanjut, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menggesa pembangkang untuk menyatakan pendirian berhubung video tersebut memandangkan usaha tersebut melibatkan isu kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Katanya lagi, selain pemimpin politik, NGO perlu bersatu dalam usaha menentang sebarang cubaan untuk menghapuskan sistem raja berperlembagaan yang diamalkan sejak dahulu lagi.

"Sultan serta raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam dan usaha memburukkan dan menghapuskan sistem beraja dilihat mahu membuang agama Islam sebagai agama rasmi.

"Jika kita tidak bersatu, dibimbangi agenda jahat musuh Islam untuk menghancurkan Malaysia sebagai negara Islam contoh akan tercapai," jelasnya.

Percubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Wan Ji gagal setelah panggilan dilakukan kepadanya tidak berjawab.

Bagaimanapun Wan Ji ada menulis di laman Twitter rasminya mengatakan dia tidak akan memberi kenyataan kepada media yang disifatkannya sebagai pembelit. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment