My Add

Tuesday 13 August 2013

Kereta pegawai bank, rakan dilempar bom

 * BAHAGIAN belakang kereta mangsa mengalami kerosakan teruk akibat terkena letupan bom buatan sendiri yang dilemparkan oleh individu tidak dikenali di Love Lane, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Seorang pegawai bank bersama rakannya terselamat walaupun kereta yang dipandunya dilempar bom buatan sendiri oleh individu tidak dikenali di Love Lane, di sini hari ini.

Semasa kejadian, mangsa, Ong Kok Kwang, 23, sedang dalam perjalanan pulang ke pejabatnya selepas makan tengah hari di kawasan berhampiran pusat bandar.

Dia kemudian menyedari kenderaannya diekori sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina sejak dari Lebuh Farquhar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, sejurus menyedari diekori, Kok Kwang membelok masuk ke Love Lane yang juga merupakan kawasan tumpuan pelancong asing.

"MPV dinaiki dua lelaki termasuk seorang dipercayai warga Indonesia itu kemudian terus menghimpit kereta Honda Civic yang dipandu mangsa.

"Pegawai bank itu kemudian memberi ruang kepada kereta berkenaan untuk memotongnya namun dia terkejut apabila suspek bertindak melanggar bahagian belakang keretanya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kok Meng berkata, mangsa yang ketakutan tidak memberhentikan kenderaannya dan ketika itu dia nampak seorang lelaki yang duduk di sebelah pemandu membuka cermin tingkap kereta dan melempar bom buatan sendiri ke arah bahagian belakang keretanya.

"Tiba-tiba, 'bumper' kereta mangsa terjatuh dan pecah serta bunyi letupan menggegarkan kawasan berkenaan. Mangsa kemudian memecut keretanya sehingga ke Jalan Burma namun dikejar oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri selepas melihat kereta polis peronda di situ," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, Kong Meng berkata, dua orang iaitu seorang pelancong warga China cedera akibat terkena serpihan letupan selain seorang wanita tempatan.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment