My Add

Monday 5 August 2013

Kesalahan Akta Timbang dan Sukat cecah 772 kes

JOHOR BAHRU, HAD, 04 Ogos , 2013:Sebanyak 772 kes direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bermula Januari lalu hingga hari ini melibatkan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat membabitkan nilai rampasan berjumlah RM757,170.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, statistik Bahagian Penguatkuasa tahun lalu mencatatkan sebanyak 845 kes melibatkan nilai rampasan sebanyak RM754,014.80 dengan kebanyakannya membabitkan peniaga yang tidak menentusahkan semula alat timbang mengikut tempoh masa ditetapkan.

Sebelum ini, tambah beliau, penentusahan alat timbang dan sukat dilaksana sendiri pegawai KPDNKK namun mulai 4 April 2005, tugas itu diserahkan kepada Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd (MCM), sebuah syarikat yang dilesenkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Syarikat ini bertanggungjawab menentukan semua alat timbang dan alat sukat yang digunakan di pasaran ditentusahkan semula setiap setahun dengan kesemua alat tersebut akan dilekatkan dengan pelekat keselamatan yang dicatatkan tarikh tamat tempoh sah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Penempatan Alat Timbang untuk Kegunaan Awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, di sini hari ini.

Antara alat timbang dan sukat yang perlu ditentusahkan adalah alat sukat linar, lori tangki, alat sukat alkohol, alat timbang emas, alat timbang pelantar, meter parkir, perakam masa, alat timbang kenderaan, neraca spring, alat sukat isi padu cecair, meter air, pam dispenser dan batu ujian.

Menurut Hasan, pelbagai langkah telah dan sedang diilaksana MCM bagi menentukan semua alat timbang dan sukat yang berada di pasaran ditentusahkan.

Antaranya, kata beliau, mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik alat timbang serta mewujudkan 'stamping station' di kawasan pedalaman sebagai kemudahan pemilik alat timbang dan sukat membuat penentusahan.

Tambahnya, sebanyak 261,457 alat timbang dan sukat sudah ditentusahkan MCM sejak Januari sehingga Julai tahun ini manakala 428,680 lagi tahun lalu.

Mengenai penempatan alat timbang untuk kegunaan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Hasan berkata, usaha itu merupakan program fasa kedua yang turut melibatkan pembabitan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) di lima buah lapangan terbang iaitu di Subang, Kedah, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, usaha itu merupakan inisiatif kementerian melindungi pengguna yang dapat memastikan berat bagasi dibawa selain bersedia dengan caj yang mungkin dikenakan syarikat penerbangan semasa proses pendaftaran masuk bagasi.

"Alat penimbang elektronik yang boleh menimbang bagasi sehingga 300 kilogram dan digunakan secara percuma itu juga membolehkan pengguna dapat menyesuaikan semula berat bagasi yang dibawa berdasarkan kepada had yang dibenarkan untuk sesuatu kelas penerbangan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment