My Add

Sunday 11 August 2013

Khidmat AKPK percuma

KUALA LUMPUR, SABTU. 10 Ogos, 2013: Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tindakan segelintir pihak yang mengaku dilantik sebagai orang tengah untuk membawa mereka mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menyelesaikan masalah hutang selain mengenakan bayaran pada kadar tertentu.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK, Mohamad Khalil Jamaldin berkata, individu yang ingin mendapatkan khidmat agensi itu boleh datang sendiri ke 11 cawangan dan sembilan pejabat kaunseling kredit di seluruh negara tanpa perlu menggunakan khidmat orang ketiga.

"Kami ingin menasihatkan orang ramai bahawa semua perkhidmatan yang disediakan adalah secara percuma," katanya.

Beliau berkata, AKPK tidak pernah melantik pihak ketiga untuk membawa individu bermasalah hutang datang ke agensi itu, sebaliknya mempelawa orang ramai datang sendiri bersama semua dokumen yang diperlukan termasuk laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat Bank Negara Malaysia (CCRIS).

"Laporan CCRIS boleh didapati dari Bank Negara atau terus dari pejabat AKPK di Maju Junction Mall," katanya.

AKPK ditubuhkan pada 2006 di bawah Bank Negara bertujuan memastikan sektor isi rumah terus berdaya tahan melalui sebuah agensi yang peminjam individu dan bakal peminjam boleh mendapatkan nasihat serta bantuan mengenai kewangan dan pengurusan kredit.

Mohamad Khalil berkata, sejak diwujudkan sehingga 31 Mei lalu kira-kira 222,942 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK, dan daripada jumlah itu, 90,807 telah dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (DMP) APKP.

Katanya, berdasarkan rekod AKPK, golongan yang mempunyai masalah keberhutangan kebanyakannya pekerja sektor swasta diikuti bekerja sendiri; sektor awam dan menggangur.

"Daripada segi status pula...ramai yang ada masalah hutang ini adalah golongan yang telah berkahwin diikuti orang bujang dan bercerai," katanya.

Mohamad Khalil menarik perhatian apabila berkata, APKP bukan sebuah agensi yang menyediakan pinjaman atau pembiayaan kewangan, sebaliknya hanya memberi nasihat dan kaunseling tentang pengurusan kewangan selain menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten dan teratur.

"Peminjam individu boleh mendapatkan bantuan AKPK untuk menstruktur semula pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi atau baki tertunggak kad kredit atau caj (kad debit)," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment