My Add

Tuesday 27 August 2013

KJ sokong Waytha Moorthy berundur

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy terus digesa supaya berundur daripada pentadbiran kerajaan jika gagal menghormati prinsip kebertanggungjawaban bersama.

Terbaharu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata sebagai anggota pentadbiran, Waytha Moorthy tidak boleh membuat kenyataan sebagai seorang anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencabar Waytha Moorthy supaya berhenti memegang jawatan berikutan tidak puas hati dengan kematian lima lelaki dipercayai anggota kongsi gelap dalam operasi polis di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ini disokong Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis serah tugas pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di sini hari ini, Khairy berkata, timbalan menteri itu mempunyai saluran tertentu untuk menyampaikan maklumat dan pandangan kepada pihak lain termasuk menteri, dan bukannya mempertikai tindakan tertentu secara terbuka.

"Jika beliau tidak mahu menggunakan saluran tersebut dan bertegas untuk mempertikai tindakan polis dalam membanteras jenayah berat, saya rasa beliau patut meninggalkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan," kata Khairy.

Beliau menyerahkan tugas selaku pengerusi PUNB kepada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan pelantikan itu berkuat kuasa 1 Ogos.

Khairy turut mengulas desakan supaya beliau menarik balik kenyataan berhubung dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memperakui satu laporan akhbar bertajuk 'Apa Lagi Cina Mahu'.

Menurut Khairy, NGO yang membuat gesaan itu perlu mengetahui kenyataan sebenar yang dibuatnya dalam satu sesi soal jawab Ahad lepas.

"Mereka bebas untuk melihat dan menonton video sewaktu sesi soal jawab pada Ahad untuk melihat keadaan dan kenyataan sebenar. Selagi mereka tidak boleh rujuk kenyataan yang sebenar, tidak perlulah saya jawab," katanya.

Selain itu, Khairy menyambut baik cadangan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya semua parti mewakili masyarakat India dalam BN bergabung sebagai satu parti.

"Bagus juga (cadangan) kalau kita hendak kemaskan lagi BN. Parti-parti kaum India boleh bergabung, parti Cina pun boleh bergabung untuk beri suntikan baharu dalam kalangan parti komponen kita," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment