My Add

Tuesday 13 August 2013

KPDNKK rampas bahan cetak rompak RM17 juta

PUTRAJAY, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas barangan cetak rompak bernilai hampir RM17 juta tahun lepas dengan 40 peratus membabitkan VCD dan DVD filem popular.

Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayuddin berkata 30 peratus lagi membabitkan CD dan selebihnya permainan serta perisian komputer.

"Biasanya penjualan CD, VCD serta DVD terdapat di semua tempat seperti pasar malam, gerai kaki lima serta penjaja kerana ada permintaan orang ramai," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata tahun lepas, pemeriksaan di pasar malam mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 33,414; gerai makan (8,392); gerai kaki lima (7,861); gerai ruang legar kompleks membeli-belah (7,518); kilang cakera optik (3,723); stor/pusat simpanan (2,926); kedai komputer (4,059) dan lain-lain (18,027).

Sementara itu untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini, nilai rampasan mencecah RM4 juta, membabitkan 803 kes daripada 41,168 pemeriksaan, katanya.

Menurut Roslan, bagi mengekang penyebaran bahan cetak rompak, pihaknya telah menyenaraikan kawasan 'panas’ di setiap negeri dengan dengan rampasan terbesar ialah sekitar Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

"Kita sentiasa melakukan pemantauan di kawasan hotspot seperti di Kuala Lumpur di Petaling Street, Low Yat, Pulau Pinang di Batu Ferringhi dan Johor di Holiday Plaza...dan dilihat banyak berkurangan," katanya.

Katanya pemilik premis dilihat semakin akur dengan ketegasan penguatkuasaan apabila mereka tidak berani mengulangi kegiatan itu lebih-lebih lagi dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) sejak 2010.

Roslan berkata jika didakwa di bawah AMLA, pemilik premis boleh dianggap muflis jika disabitkan kesalahan, selain denda yang semakin tinggi iaitu bagi seunit yang dirampas nilai denda antara RM2,000 dan RM20,000.

"Kesukaran untuk mengesan pemilik premis juga bukan menjadi masalah besar kerana penjaga premis yang ditangkap akan memberi kerjasama ekoran tidak mahu didenda dan dipenjarakan," katanya.

Menurut Roslan lagi, pemantauan pihaknya mendapati setiap kilang yang memproses bahan cetak rompak biasanya mempunyai tidak kurang lapan mesin dengan setiap sebuah menghasilkan antara 10,000 dan 20,000 keping sehari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment