My Add

Thursday 22 August 2013

Kukuhkan ekonomi bumiputera sebelum PRU-14

 *ABDUL Rahim Tamby Chik (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas antara Ramlan Othman (kanan) dan Mohammad Izat Hassan, di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menyarankan kerajaan mengadakan satu konvensyen ekonomi bumiputera dengan segera agar blueprint memantapkan perkembangan ekonomi kaum itu dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Gabem, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik berkata, ini kerana kaum bumiputera terutama orang Melayu hanya mempunyai masa lima tahun untuk memperbaiki kedudukan ekonomi yang dilihat banyak ketinggalan berbanding kaum lain.

“Perlu ada satu blueprint yang lebih bersepadu bagi meningkatkan ekonomi orang Melayu selepas PRU-13. Tambahan orang Melayu sudah menunjukkan sokongan kuat mereka kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya baru-baru ini.

“Melalui konvensyen itu, kita dapat melihat apa kelemahan dan kekurangan yang ada sekarang, selain mencari penyelesaian supaya dalam masa lima tahun akan datang, kita benar-benar dapat merombak dan mengubah ekonomi orang Melayu kepada tahap lebih membanggakan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah tugas bagi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabem di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Mohammad Izat Hassan dilantik sebagai CEO Gabem yang baharu menggantikan Datuk Ramlan Othman.

Rahim berkata, konvensyen ekonomi bumiputera yang dicadangkan mampu melahirkan pelbagai kaedah secara bersepadu bagi memperbaiki dan meningkatkan tahap ekonomi bumiputera.

“Masalah kita sekarang terlalu banyak cara dan pendekatan dibuat melalui agensi, bank, kementerian, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang semakin banyak wujud. Ini semua mesti dibuat secara bersepadu.

“Kita khuatir dalam keadaan tidak selaras ini akan berlaku lebih banyak ketirisan, jadi kita benar-benar perlukan pendekatan yang lebih menyatukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim ketika mengulas tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berkata, kerajaan digesa supaya mempertimbangkan secara terperinci dan berhati-hati dengan rundingan itu termasuk mendengar pandangan daripada NGO.

Katanya, TPPA mungkin sesuai dilaksanakan apabila keadaan ekonomi negara sudah benar-benar mantap dan boleh bersaing secara sihat dengan pertumbuhan ekonomi negara maju.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, Gabem turut mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak menswastakan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) kerana syarikat itu menjadi lambang penerbangan kebangsaan yang dibanggakan rakyat Malaysia selama ini.

Katanya, MAS mampu menjana keuntungan tinggi dengan syarat kerajaan melantik pemimpin yang benar-benar boleh membawa syarikat itu ke tahap lebih baik melalui idea dan strategi perniagaan yang mantap. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment