My Add

Monday 5 August 2013

KWAPM bantu murid miskin

 * REEZAL Merican Naina Merican (kiri) menyerahkan bantuan KWAPM di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.
KEPALA BATAS, AHAD, 04 Ogos, 2013: Seramai 728 murid dari beberapa buah sekolah menengah dan rendah di daerah ini menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi sesi 2013.

Majlis penyerahan wang itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini semalam.

Reezal Merican dalam ucapannya berkata, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memberi peruntukan berjumlah RM330,000 untuk bantuan KWAPM kepada murid yang layak di daerah ini.

Katanya, bantuan itu merupakan tanda keprihatinan pihak kerajaan dalam membantu ibu bapa yang miskin ke arah mengurangkan kos perbelanjaan anak-anak ke sekolah.

"Melalui bantuan ini ibu bapa diharap tidak menjadikan alasan kemiskinan sebagai faktor penting untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah," katanya.

Sehubungan itu, Reezal Merican berkata, ibu bapa perlu menyedari pendidikan merupakan elemen penting yang harus diberikan kepada anak masing-masing.

"Kecemerlangan pendidikan yang dicapai anak masing-masing akan berupaya membawa golongan susah keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya mengubah kehidupan keluarga berkenaan," katanya.

Seorang waris pelajar yang ditemui, Hassan Mat Diah, 45, dari Kampung Pinang Tunggal berkata, dia gembira kerana anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ahmad Shah dipilih menerima wang KWAPM.

"Wang ini dapat mengurangkan bebanan membiayai persekolahan anak saya yang belajar di tahun tiga sekolah itu kerana sebagai pekerja kampung pendapatan yang diperoleh tidak seberapa.

"Syukur atas keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan kami golongan berpendapatan rendah ini melalui penyediaan wang KWAPM dan bantuan lain," katanya.

Seorang ibu tunggal, Kalsom Mohamad, 47, dari Kampung Permatang Bertam pula berkata, keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Datuk Abdul Kadir berjaya mengurangkan bebannya selama ini.

"Anak saya yang belajar di tingkatan satu sebelum ini telah menerima pelbagai bantuan dan membolehkannya meneruskan persekolahannya tanpa gangguan.

"Secara tidak langsung pendapatan saya sebagai peniaga kuih selama ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan adiknya yang lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment