My Add

Tuesday 13 August 2013

Lagi sokongan terbuka Musa Aman tanding Naib Presiden UMNO

 Musa Aman
KOTA KINABALU, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Beberapa pemimpin UMNO Sabah menyatakan sokongan terbuka kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman sekiranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu memutuskan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti menjelang akhir tahun ini.

Mereka berpendapat, Musa adalah pilihan tepat untuk mengisi satu daripada tiga jawatan Naib Presiden mengambil kira rekod kepimpinannya sama ada dalam parti mahupun kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin memberi sokongan 100 peratus kepada Musa sekiranya Ketua Menteri itu mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

"Cadangan itu sebenarnya pernah diajukan kepada Ketua Menteri pada penggal pemilihan lepas tetapi Musa mengambil keputusan bertanding jawatan Majlis Tertinggi sahaja," katanya ketika dihubungi.

Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, pertandingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO tidak akan menimbulkan masalah walaupun ada dua pemimpin UMNO dari Sabah bertanding jawatan sama kerana perkara demikian sudah menjadi kebiasaan dalam parti.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad juga menyatakan sokongan terbuka kepada Musa jika beliau memutuskan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti tahun ini.

"Beliau (Musa) bukan saja berjaya membawa kestabilan politik, malahan telah membawa negeri ini terus membangun dan maju.

"Ikatan akrab dan jalinan mesra beliau dalam kalangan pimpinan negeri dan Pusat memudahkan pelbagai program dan peruntukan dilaksanakan secara teratur dan terancang," katanya.

Sapawi yang juga anggota Parlimen Sipitang berpendapat, mana-mana pemimpin UMNO berhak untuk bertanding pada pemilihan parti seiring prinsip dan amalan demokrasi yang dipraktikkan UMNO.

"Kita percaya Musa mampu merealisasikan apa jua perancangan dan program pembangunan lebih rancak dan ekonomi negeri terus meningkat. Musa yang menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam PRU-13 lepas berjaya mengekalkan negeri ini sebagai kubu kuat BN, sekali gus menjadi antara penyumbang kepada pembentukan kerajaan," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, UMNO bahagian itu akan memberi sokongan penuh kepada Musa jika beliau menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

"Tidak ada keraguan terhadap kewibawaan beliau. Selama dua penggal prestasi BN cukup cemerlang di negeri ini dan selaku pentadbir beliau telah memulihkan ekonomi negeri ini dengan baik sekali," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula berkata, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri bertanding sebarang jawatan dalam parti termasuk Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Abdul Ghapur yang juga anggota Parlimen Kalabakan berkata, pertandingan kepada semua berdasarkan amalan demokrasi yang diamalkan UMNO sejak sekian lama.

"Pada kali ini, mereka (yang berhasrat bertanding) hanya perlu mendaftar untuk bertanding dan ini menunjukkan bahawa UMNO sudah berada di zaman yang terbuka, satu usaha positif supaya ahli UMNO boleh memilih pemimpin yang mereka suka," katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian UMNO Bahagian Kalabakan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu kelak. — BERNAMA 

No comments:

Post a Comment