My Add

Thursday 8 August 2013

Laluan Shahrizat, Khairy pertahan jawatan masing-masing berbeza

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Ogos, 2013: Laluan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin untuk mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Ketua Wanita dan Ketua Pemuda UMNO dijangka berbeza sekiranya berlaku pertandingan dalam pemilihan Oktober ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, Shahrizat akan menerima tentangan daripada bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said yang dilihat mampu memberi saingan dalam merebut jawatan Ketua Wanita.

Katanya, keadaan itu jauh berbeza dengan laluan Khairy kerana sehingga kini belum kedengaran desas-desus tokoh pemimpin muda yang mahu mencabar jawatan Ketua Pemuda UMNO.

"Walaupun Shahrizat menerima tentangan daripada Azalina, kelebihan tetap di pihak Shahrizat yang memiliki segalanya untuk bergelar ketua wanita termasuk keluarga, bersikap ramah dan disenangi semua peringkat umur yang mampu menjadi faktor kemenangannya nanti.

"Apa pun, semua itu bergantung pada keputusan para kaum ibu yang menjadi perwakilan dalam pemilihan UMNO nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat hari ini, hanya jawatan Ketua Wanita UMNO sahaja yang sudah menerima pengesahan dua pemimpin yang mahu bertanding manakala jawatan Ketua Pemuda UMNO pula masih samar-samar kerana Khairy sendiri belum membuat pengumuman rasmi sama ada mahu mempertahankan jawatannya itu atau tidak.

Mengulas lanjut, Noor Sulastry juga memberitahu, pergerakan wanita UMNO kini dilihat mempunyai masalah dalam mencari pemimpin pelapis.

Tegas beliau, disebabkan itulah agak sukar untuk mencari pemimpin yang boleh mencabar jawatan Shahrizat dalam pemilihan UMNO nanti.

"Berbeza dengan pergerakan Pemuda UMNO, Khairy yang masih muda dan memiliki karisma tersendiri sehingga menjadi idola ramai golongan muda dilihat tidak mempunyai masalah untuk terus kekal sebagai Ketua Pemuda.

"Tidak hairanlah sehingga kini belum ada yang sanggup menyatakan keberanian secara terbuka untuk menentang Khairy," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment