My Add

Friday 9 August 2013

Laungan azan ketika usia 12 tahun beri sinar kepada saudara baru

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Ogos, 2013: Tatkala remaja lain seusianya sibuk mengejar kehidupan masing-masing, berlainan pula dengan seorang saudara baru Islam (mualaf) yang kini gigih mendalami Islam untuk menjadi Muslim sejati.

Ia bermula dengan laungan azan yang didengarnya sambil menghayati maksud azan di kaca televisyen pada usia 12 tahun, yang akhirnya menyuntik minat wanita itu untuk mengenali Islam.

"Setelah berada di Tingkatan Satu, saya mula mengkaji buku-buku agama Islam dan mula membaca buku berkisarkan kisah nabi-nabi. Ustaz dan kawan-kawan yang beragama Islam di sekolah banyak mengajar dan membimbing saya pada waktu itu," katanya kepada Bernama.

Gadis berusia 21 tahun itu bergelar seorang Islam pada 19 Jun 2009 ketika berada di Tingkatan Lima dengan melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan seorang ustaz dan rakan karibnya di tempatnya bersekolah.

"Pada ketika itu saya belum mendaftarkan pengislaman saya...saya hanya berbuat demikian secara rasmi tahun lalu di Jabatan Agama Islam.

"Saya memilih Islam bukan terpengaruh dengan orang Islam tetapi dengan pemerhatian saya terhadap agama Islam itu sendiri iaitu al-Quran, azan, dua kalimah syahadah dan konsep ketuhanan yang ditekankan dalam Islam," katanya.

Namun, selepas empat tahun penghijrahannya, perkara itu belum diketahui ibu bapanya termasuk ahli keluarga lain.

Mengenai cabaran selepas bergelar Muslim, beliau berkata terpaksa melakukan ibadah secara rahsia sepanjang berada di kampung bersama ibu bapanya.

Ditanya mengenai ibadah puasa, gadis itu berkata beliau tidak menghadapi masalah melaksanakannya ketika pertama kali berpuasa memandangkan sudah mempraktikkannya sebelum memeluk Islam.

Namun, beliau hanya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan sederhana berikutan masih merahsiakan mengenai pengislamannya daripada keluarga.

Dalam pada itu, katanya sebagai saudara Islam baru, beliau mudah mendapatkan bimbingan menerusi majlis agama islam negeri, Perkim, Hidayah Centre Foundation dan Ikram.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment