My Add

Saturday 3 August 2013

Legasi Boon Huat jadi pendorong pemain muda

MELAKA, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Bakti dan legasi yang ditinggalkan oleh mendiang Chua Boon Huat akan menjadi pendorong kepada lebih ramai pemain hoki muda di negeri ini memburu cita-cita menjadi pemain bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron berkata anak jati negeri ini merupakan sumber inspirasi kepada setiap pemain muda yang ingin berjaya dalam sukan itu.

"Mendiang merupakan lagenda yang meninggalkan legasi hebat dengan 340 penampilan antarabangsa untuk negara, ini sesuatu yang sukar ditandingi apatah lagi mencari pengganti bagi menyaingi pencapaian mendiang.

"Namun saya percaya ramai anak muda kita ingin menyaingi pencapaian itu dan menjadi seperti mendiang.

"Sebagai anak Melaka, mendiang telah banyak berjasa kepada negeri dan negara menjadikan Malaysia kuasa hoki yang dihormati rakan dan lawan di seluruh dunia.

"Seluruh rakyat Melaka amat bersedih atas pemergian mendiang," katanya pada sidang media di Semabok di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat mendiang dan mengucapkan takziah kepada keluarganya di Taman Semabok Perdana di sini serta menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM2,000.

Turut hadir Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persatuan Hoki Melaka Datuk Md Yunos Husin.

Boon Huat, 33, terbunuh dalam nahas jalan raya melibatkan kereta Proton Perdana yang dipandunya dengan sebuah lori di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam.

Idris berkata bagi memperingati mendiang, kerajaan negeri akan berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri untuk menamakan padang hoki atau bilik sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka, yang juga bekas sekolah mendiang, dengan nama Chua Boon Huat.

"Cara ini diharap dapat memastikan legasi mendiang diingati dan menjadi inspirasi kepada anak muda kita di Melaka.

"Saya harap keluarga mendiang bersabar dengan ketentuan ini dan saya bersama anggota pentadbiran kerajaan negeri megucapkan takziah kepada anggota keluarga mendiang," katanya.

Mayat mendiang akan di semadikan, Isnin ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment