My Add

Thursday 22 August 2013

Liga Arab kutuk pembunuhan kejam

KAHERAH, RABU, 21 Ogos, 2013: Liga Arab mengutuk tindakan pembunuhan beramai-ramai menggunakan gas saraf oleh tentera Syria sebagai 'jenayah dahsyat kerana mengorbankan nyawa tidak berdosa', apabila kira-kira 1,300 rakyat negara itu maut.

Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil al-Arabi turut menggesa pemeriksa senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria segera melawat kawasan seperti didakwa berlakunya serangan senjata kimia di pinggir Damsyik, pagi ini.

Menerusi satu kenyataan, Nabil mendesak pasukan pemeriksa tersebut 'dengan segera' pergi ke Ghouta bagi melihat situasi sebenar dan menyiasat fakta jenayah itu.

Kenyataan tersebut menyusul selepas satu serangan di kawasan di pinggir ibu negara Syria, didakwa mengorbankan sebanyak 100 nyawa, tanpa merujuk kepada penggunaan senjata kimia.

Namun, kumpulan pemberontak utama Syria, Perikatan Kebangsaan Syria (SNC) mendakwa lebih 1,300 orang terbunuh dalam serangan itu yang dinafikan kerajaan.

SNC pada masa sama menggesa suruhanjaya siasatan PBB dalam penggunaan senjata kimia supaya segera melawat tapak serangan itu.

Kumpulan itu turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan satu mesyuarat tergempar berhubung serangan tersebut.

"Saya menyeru Majlis Keselamatan supaya bermesyuarat dengan segera,'' kata pemimpin SNC, Ahmed al-Jarba kepada saluran berita al-Arabiya.

Ahmed pada masa sama mengutuk serangan di pinggir bandar Ghouta itu dengan menyifatkannya sebagai satu 'pembunuhan beramai-ramai'.

Sementara itu, Setiausaha Luar Britain, William Hague dalam satu kenyataan memberitahu, mereka akan membangkitkan laporan penggunaan senjata kimia oleh tentera Syria kepada Majlis Keselamatan PBB dan meminta Damsyik memberi laluan kepada pasukan pemeriksa PBB ke kawasan tersebut.

"Saya amat bimbang tentang laporan beratus-ratus penduduk termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara dan senjata kimia di Damsyik,'' katanya. - AFP/REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment