My Add

Saturday 3 August 2013

Lima lokasi jalan raya berbahaya di Johor dikenalpasti

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengenal pasti lima buah jalan raya sekitar negeri ini yang dikhuatiri mengundang bahaya dan mengakibatkan kemalangan maut ekoran pertambahan jumlah kenderaan terutamanya musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasni Mohammad berkata, lima buah jalan raya itu adalah Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Jalan Skudai, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, Jalan Bakar Batu-Permas Jaya dan Jalan Pasir Gudang.

"Pihak JKJR terlebih dahulu mengenal pasti 37 lokasi 'blackspot' tetapi lima jalan ini antara yang menjadi lokasi kerap kali berlakunya kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program keselamatan jalan raya di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini sebentar tadi.

Seperti kelaziman, ujar Hasni, jumlah kenderaan yang dijangka bertambah pada musim perayaan ini menyebabkan lokasi-lokasi tersebut akan dipantau dan dikawal secara menyeluruh oleh anggota keselamatan.

"Pada tahun ini, kita menjangkakan sebanyak 150,000 buah kenderaan termasuk penunggang motosikal akan memenuhi setiap jalan raya.

"Situasi itu agak membimbangkan dan oleh yang demikian, saya menggesa agar penunggang motosikal bersikap lebih berhati-hati dan digalakkan menggunakan kenderaan awam," katanya.

Mengikut statistik pada tahun lalu, seramai 1,033 nyawa melayang akibat kemalangan jalan raya dan 648 daripada jumlah itu adalah penunggang motosikal.

"Sehubungan itu, adalah lebih baik sekiranya orang ramai dapat menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kesesakan jalan raya pada Aidilfitri yang akan disambut dalam beberapa hari lagi," katanya. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment