Loji Biomas-Etanol pertama di Malaysia
KUALA LUMPUR , JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Konsortium Kumpulan Hock Lee dan Beta Renewables merancang untuk membina loji Biomas-Etanol pertama berskala komersial dalam negara di Bintulu, Sarawak.
Perancangan loji tersebut merupakan hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Kumpulan Hock Lee dengan Beta Renewables baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hock Lee, Yek Siew Liong berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu bagi menjalankan kajian terperinci untuk menubuhkan loji tersebut dan sedang berusaha ke arah merealisasikan usaha sama itu.
"Kerjasama ini sekali gus menjadi rangsangan kepada objektif Strategi Biomas Negara 2020 yang diterajui oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) untuk menjadikan Malaysia sebagai pemangkin serantau dalam industri berasaskan biomas.
"Projek tersebut adalah selaras dengan fokus kerajaan negeri untuk membangunkan industri hijau dalam bidang sumber tenaga yang boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Siew Liong berkata, inisiatif ini berpotensi menjadi pemangkin kepada industri baharu seperti bahan bakar bio yang boleh dijadikan sumber pendapatan kepada rakyat.
"Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia juga akan meningkat justeru mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dengan menarik usahasama dengan syarikat tempatan
"Apabila KDNK sesebuah negara meningkat setiap tahun, manfaat turut akan berpihak kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS), pekebun kecil dan masyarakat tempatan," katanya.
Jelasnya, penglibatan AIM dengan kerjasama Unit Perancang Negeri Sarawak dan agensi berkaitan bertujuan memastikan kajian dan MoU tersebut dapat dilengkapkan menjelang suku keempat tahun ini.
"Perkembangan industri biomas yang positif menunjukkan kepentingan dan penerimaan penggiat industri terhadap Strategi Biomas Negara," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment