My Add

Wednesday 21 August 2013

Lupakan kepentingan parti

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU, SELASA, 20 Ogos , 2013:Larangan menggunakan kalimah Allah kepada bukan Islam khususnya Kristian perlu disokong sepenuhnya oleh seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik demi masa depan agama dan umat Islam itu sendiri.

Mufti Terengganu, Dr. Zulkifly Muda berkata, dalam soal sepenting itu mereka harus melupakan kepentingan parti dan pengaruh agar agama tidak tercela.

Katanya, fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri telah diwartakan secara rasmi oleh kerajaan negeri pada 28 Mei 2012 kerana konsep ketuhanan dalam Islam amat berbeza dengan agama Kristian.

"Konsep ketuhanan agama Kristian dicemari dengan konsep triniti yang amat celaru antara tuhan dan makhluk sedangkan dalam Islam, Allah adalah tuhan yang memiliki sifat ketuhanan dari sudut zat dan sifatnya yang langsung tidak sama dengan manusia serta makhluk selain tiada kaitan antara tuhan dengan makhluk-Nya," ujar beliau.

Katanya, dalam Islam juga, Allah bukan setakat diiktiraf tentang wujud-Nya bahkan Allah disembah dan menjadi sumber rujukan yang dijelmakan sebagai kitab al-Quran.

"Oleh itu, Allah dijadikan tuhan oleh masyarakat Islam secara maksimum yang tercerna di atas kalimah rububiyah dan uluhiyah.

"Dalam agama Kristian, tuhan hanya diiktiraf wujudnya tetapi tidak dijadikan rujukan, bahkan urusan kehidupan dunia diserahkan kepada sistem buatan atau ciptaan akal, bukannya wahyu seperti dalam Islam," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zulkifly berkata, justeru itu, kalimah Allah hanya layak dipakai dalam Islam kerana kalimah itu dipakai penuh tanggungjawab oleh masyarakat Islam sebagai tuhan yang wujud, yang disembah dan yang dirujuk ajaran-Nya.

Menurutnya, penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian juga boleh mengelirukan masyarakat Islam dengan kemungkinan wujud tanggapan dalam kalangan Islam bahawa Islam dan Kristian adalah sama kerana sama-sama bertuhankan Allah.

"Akibatnya, ini akan melebarkan lagi fahaman pluralisme dalam masyarakat Islam itu sendiri. Apa yang dibimbangi, orang Islam akan berminat kepada agama Kristian kerana dasar halal haramnya begitu longgar serta berdasarkan konsep matlamat menghalalkan cara," katanya.

Zulkifly seterusnya mempersoalkan kenapa orang Kristian beria-ia benar menggunakan kalimah Allah sehingga sanggup membawa kes itu ke mahkamah sedangkan selama ini mereka hidup aman damai di negara ini.

"Tentu ada sebab mustahak yang mereka inginkan dan sebagai orang Islam, seseorang itu berhak bersangka buruk tentang sebab dan niat itu sebagaimana mereka (orang Kristian) juga ada hak untuk menyangka buruk terhadap orang lain atau agama lain.

"Sangkaan itu tidak salah bagi orang Islam sebagaimana mereka (orang Kristian) juga ada hak untuk ada sangkaan itu terhadap orang lain," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan sangkaan buruk tidak menjadi lebih kronik dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama, adalah lebih baik mereka tidak menuntut hak penggunaan kalimah Allah kerana selama ini pun mereka tiada masalah dengan orang Islam atau lain-lain komuniti. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment