MAALA MUNIRA |
PASIR MAS, RABU, 07 Ogos, 2013: Tidak ada yang dapat digambarkan oleh seorang ibu dan bapa selepas kehilangan dua anak gadis serentak dalam kemalangan jalan raya ketika seluruh umat Islam bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri.
Bagaimanapun Abdullah Mamat, 61, dan Wan Esah Wan Cob, 57, reda menerima takdir Ilahi biarpun rasa tersentuh apabila melihat kedua-dua anaknya telah menyediakan barangan kelengkapan untuk menyambut Aidilfitri.
Wan Esah ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Lati di sini berkata, paling terasa apabila melihat anak keenamnya, Taqwa Munira Abdullah, 20, telah menyediakan duit raya untuk semua orang kesayangannya dengan setiap sampul telah ditulis nama.
Tidak ada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh Taqwa dan kakaknya, Maala Munira, 25, sebelum kejadian ini berlaku, saya tidak berasa bimbang kerana Maala sering memandu pulang ke kampung sendirian sejak tiga tahun lalu.
Taqwa baru bekerja sebulan dan dia ada membeli sehelai kemeja T untuk abangnya, Ribena untuk anak-anak saudara dan set kecantikan Safia Rania untuk saya.
Taqwa juga menyediakan beberapa sampul duit raya dengan setiap sampul ada nama, nama saya, nenek dan ibu saudara dia, kerana dia mahu kami merasa gaji pertamanya sebagai juruteknik di sebuah kilang di Pulau Pinang selepas menamatkan pengajian di Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) baru-baru ini," katanya.
Semalam, akhbar melaporkan dua beradik perempuan berusia 20 dan 26 tahun yang dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di Lati di sini maut selepas kereta jenis Perodua Kelisa yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Prius di Kilometer 17, Jalan Timur - Barat, Gerik - Jeli kira-kira pukul 9 pagi semalam.
Taqwa dan kakaknya, Maala meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala serta badan.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Lemal di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.
Wan Esah berkata, Taqwa telah pergi ke rumah Maala di Kulim pada malam sebelum kejadian berlaku kerana mahu pulang menyambut Aidilfitri di kampung bersama-sama.
TAQWA MUNIRA |
Kira-kira pukul 9.20 pagi, suami saya menerima panggilan telefon daripada saudara yang memaklumkan dua anak saya itu kemalangan di Gerik, katanya.
Menurutnya, mereka sudah mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila dia hanya memberitahu mahu ke sana secepat mungkin.
Anak saya kemudiannya menghubungi telefon Taqwa dan seseorang yang menjawab panggilan itu memaklumkan kedua-dua mereka telah meninggal dunia," katanya.
Katanya, biarpun Maala yang juga anak ketiga daripada lapan beradik itu tidak banyak bercakap tetapi dia telah memaklumkan untuk memasak ayam penyet pada hari raya ini.
Sebagai ibu, dia amat terasa apabila tidak sempat untuk berbuka walaupun sekali bersama dengan Maala.
Dalam pada itu, Abdullah kelihatan amat tenang dan peniaga pakaian terpakai itu lebih banyak bercerita mengenai kecemerlangan akademik kedua-dua anaknya itu.
Maala seorang pelajar cemerlang, selepas menamatkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dia telah melanjutkan pelajaran ke University of Nottingham dalam bidang kejuruteraan mekanikal sehingga ke peringkat sarjana.
Dia kemudian bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang membuat sarung tangan di Kulim, Kedah. Maala adalah anak ketiga daripada lapan adik beradik.
Taqwa pula seorang pelajar cemerlang. Selalu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan dan diakui sendiri oleh pensyarahnya di JMTI, malah sebaik sahaja tamat pengajian pada Julai lalu, dia terus diterima untuk bekerja di kilang berkenaan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment