My Add

Saturday 3 August 2013

Mahkamah Pilihan Raya ruang bersihkan nama

NIZAM ZAIN

 Nurul Izzah
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang berjaya mengetepikan petisyen BN untuk membatalkan keputusan PRU13 bagi kerusi Parlimen itu menyifatkan keputusan itu sebagai usaha untuk membersihkan namanya.

Katanya, kejayaan beliau mengekalkan kerusi Parlimen membuktikan undang-undang petisyen pilihan raya yang wujud sejak 1954 itu tidak lapuk malah masih relevan dalam semua petisyen sama ada yang difailkan BN mahupun PR.

“Saya bersyukur kerana dakwaan yang mengaitkan saya mengganggu-gugat peti-peti undi itu digugurkan dan saya bersyukur nama saya dapat dibersihkan menerusi cara ini.

“Pada saya reformasi sistem pilihan raya termasuk undang-undang itu wajib dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di pekarangan pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Zabariah Mohd Yusof semalam yang menolak petisyen BN untuk membatalkan keputusan PRU13 di Parlimen Lembah Pantai pada 5 Mei lalu.

Hakim turut menetapkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Nurul Izzah.

Pada PRU13 lalu, Nurul Izzah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai dengan majoriti 1,857 undi, apabila menerima undian sebanyak 31,008 manakala Raja Nong Chik yang memperoleh 29,161 undi.

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengunci meter air Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah di Cheras sejak Isnin lalu.

Tambah beliau, tunggakan sewa yang mencecah puluhan ribu ringgit itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu dan tindakan diambil pada seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Nurul Izzah mendakwa, tindakan itu seolah-olah dibayangi kepentingan pihak tertentu yang dilaksanakan sebaik sahaja piliihan raya lalu.

Sehubungan itu beliau berharap pihak DBKL dapat mempertimbangkan tindakan tersebut memandang PPR tersebut turut dihuni golongan kurang upaya dan mereka yang sedang menghadapi masalah kewangan.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib hari ini memberi jaminan perkara itu akan ditangani segera dengan membenarkan penduduk PPR terbabit membayar ansuran serendah RM10 terlebih dahulu sebelum meter air pangsapuri mereka dibuka semula pihak DBKL.

Persetujuan itu dicapai hasil rundingan bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Ibu Pejabat DBKL dan Ahmad Phesal. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment