My Add

Thursday 22 August 2013

Majlis Perunding Agropreneur ditubuh

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

SERDANG, RABU, 21 Ogos, 2013: Kerajaan akan menubuhkan sebuah Majlis Perunding Agropreneur pada bulan depan, khusus untuk melibatkan lebih ramai penyertaan orang muda dalam bidang pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan penubuhan majlis tersebut akan dibentangkan kali terakhir ke Kabinet pada minggu depan.

Jelas beliau, pelbagai pihak berkepentingan membabitkan golongan muda seperti persatuan-persatuan belia termasuk usahawan tani muda berjaya akan menganggotai majlis itu yang dipengerusikan beliau sendiri.

"Golongan muda tidak mahu terlibat dalam bidang pertanian kerana merasakan suara mereka tidak didengari. Jadi untuk mendengar suara dan pandangan, kementerian bersetuju mewujudkan majlis ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam majlis sambutan Aidilfitri kementeriannya, di sini hari ini.

Majlis yang turut dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tetamu kehormat itu menyaksikan lebih 15,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Ismail Sabri berkata, usaha mengajak anak muda melibatkan diri dalam bidang pertanian yang ketika ini hanya berjumlah 10,000 orang akan terus dipergiat melalui Unit Agropreneur Muda yang diwujudkan bagi membantu mereka mengusahakan bidang itu.

Katanya, mereka yang berminat akan ditawarkan 'pakej pertanian', merangkumi bantuan modal, tanah, latihan kemahiran dan bimbingan kerjaya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, kementerian memberi jaminan bekalan lembu mencukupi.

"Kementerian telah bersedia dan Jabatan Veterinar diarahkan untuk memastikan bekalan lembu mencukupi sama ada perlu diimport dari negara lain. Jadi, rakyat tidak perlu bimbang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment