My Add

Tuesday 6 August 2013

Malcoy 8 harumkan nama negara, ATM

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Pasukan Malaysian Company 8 (Malcoy 8) bukan sahaja mengharumkan nama negara malah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mempamerkan pencapaian prestasi dan komitmen yang tinggi sepanjang melaksanakan operasi membantu meringankan kesusahan dihadapi penduduk di Lebanon.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, selain kejayaan operasi, Malcoy 8 juga berjaya meningkatkan imej negara melalui kejayaan aktiviti sukan yang dianjurkan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).

Beliau berkata, penglibatan pasukan itu dalam melaksanakan program khidmat kemasyarakatan juga amat dihargai oleh masyarakat setempat dan mendapat pujian bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan malah pemimpin Lebanon sendiri.

"Saya bagi pihak ATM ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh ketiga-tiga perkhidmatan ATM, darat, laut dan udara, Kementerian Pertahanan dan agensi-agensi lain sama ada di dalam dan di luar negara yang juga menyumbang kepada kejayaan penghantaran Malcoy 8 sebelum dan semasa misi ini dilaksanakan.

"Sesungguhnya tanpa kerjasama dan sokongan daripada semua agensi-agensi tersebut, misi Malcoy 8 dan misi negara Malaysia tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perbarisan pembubaran Malcoy 8 dan penyampaian pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBBB) di Padang Kawad 1, Kor Armor Diraja Kem Batu 10 di sini hari ini.

Malcoy 8 selesai menamatkan tugas dengan jayanya di bawah misi UNIFIL selama 12 bulan iaitu dari 14 Julai 2012 hingga 30 Julai lalu dan merupakan pasukan terakhir berkhidmat di Sektor Timur UNIFIL.

Pasukan ini telah beroperasi di Kawkaba, Lebanon dengan kekuatan 360 orang anggota dan diketuai Leftenan Kolonel Hamdan Ismail selaku Komander.

Zulkifeli berkata, beliau berharap kerajaan dan pengalaman Malcoy 8 melaksanakan misi UNIFIL akan menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga ATM untuk menyertai misi di luar negara sekiranya diarahkan.

"Diharapkan pengalaman melaksanakan misi 12 bulan ini akan menjadi pemangkin semangat anggota Malcoy 8 khasnya dan ATM amnya untuk terus berbakti dan menyumbang yang terbaik demi negara kita Malaysia.

"Semoga segala pengalaman menyertai misi ini (UNIFIL) serta berpeluang menyaksikan sendiri kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat Lebanon akibat pergolakan dan konflik dapat memberikan satu pelajaran yang berguna kepada seluruh warga Malcoy 8," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment