My Add

Sunday 11 August 2013

Mangsa culik Abu Sayyaf guna sudu buka gari untuk melepaskan diri

TELOK KEMANG, SABTU, 10 Ogos, 2013: Ahli perniagaan, Tung Wee Jie mengambil masa dua jam untuk membuka gari besi menggunakan sudu sebelum meloloskan diri daripada tahanan Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, Filipina, Isnin lalu.

Mangsa yang berusia 26 tahun itu yang masih dalam keadaan trauma menyifatkan dia amat bertuah kerana berjaya melarikan selepas ditahan hampir sembilan bulan dalam sebuah pondok buluh di kem kumpulan terbabit.

''Saya digari di bahagian tangan dan kaki, saya berjaya membuka gari di kaki sejak sebulan lalu, namun saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuka gari di tangan sebelum melarikan diri.

''Ketika itu (pagi Isnin) hujan amat lebat dan itulah masa yang paling sesuai untuk melarikan diri tanpa saya berfikir dua kali," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Pelandok, Port Dickson, dekat sini hari ini.

Jelasnya, hujan lebat itu merupakan peluang terbaik baginya untuk melepaskan diri tanpa disedari oleh 20 pengawal bersenjata yang ketika itu sedang bersembahyang.

Tambah Wee Jie, dia mengambil masa hampir sehari untuk sampai ke pekan berhampiran di Indanan, Sulu, Filipina untuk mendapatkan bantuan.

''Sebaik tiba di pekan terbabit saya terus menuju ke bangunan kerajaan tetapi pada awalnya saya tidak dihiraukan sebelum keesokan paginya seorang kakitangan pejabat terbabit membantu dan menghubungi pihak polis," katanya yang ketika itu dalam keadaan keletihan dan tidak bermaya.

Pada 13 November lalu, Wee Jie bersama sepupunya Tung Wee Wei, 34 ditahan lima lelaki berpakaian tentera, dua daripadanya bersenjatakan raifal M-16, ketika mereka memeriksa rumah sarang burung di sebuah ladang kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah berdekatan Kampung Manakayan.

Wee Jie memberitahu, kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang. Dia bersama sepupu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata.

''Namun kami terpaksa berhenti kerana mereka melepaskan tembakan ke udara. Hanya kami berdua ditahan dan dibawa menaiki bot ke Sulu," ujarnya yang sehingga kini tidak tahu apa nasib sepupunya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment