My Add

Sunday 11 August 2013

Mara pantau keselamatan pelajar di Mesir

 
KOTA BHARU, SABTU, 10 Ogos, 2013: Ibu bapa penuntut tajaan Mara di Mesir tidak perlu risau mengenai keadaan anak-anak mereka kerana kerajaan sentiasa membuat pemantauan terhadap keselamatan penuntut Malaysia di negara berkenaan berikutan konflik yang melanda negara itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, sehingga kini penuntut Malaysia berada dalam keadaan selamat dan pihak kedutaan di sana sentiasa memantau pergerakan mereka.

"Sekarang kita sedang pantau keadaan penuntut kita di Mesir. Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pejabat Mara di Kaherah sentiasa mengemas kini maklumat-maklumat terkini tentang situasi di sana.

"Saya akan dapat maklum balas secara berterusan mengenai perkara yang berlaku di sana," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Situasi di Mesir ketika ini masih tidak menentu akibat pergolakan politik selepas Presiden, Mohammed Mursi yang dipilih secara demokrasi tahun lalu digulingkan tentera.

Annuar berkata, penuntut terbabit akan meneruskan sesi pengajian seperti biasa selagi pergolakan di negara berkenaan tidak mengganggu keselamatan mereka.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya pergolakan itu semakin buruk demi keselamatan penuntut terbabit.

"Sekiranya keadaan meruncing kita akan berbincang dengan kedutaan untuk mengambil langkah atau tindakan yang diperlukan, kita tidak akan membiarkan penuntut diancam kemelut yang boleh mengganggu-gugat keselamatan mereka di sana," katanya.

Beliau berkata, pihak kedutaan Malaysia juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya jika pergolakan di negara itu terus berlarutan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment