My Add

Tuesday 13 August 2013

Masalah kekurangan tanah kubur makin serius

PULAU PINANG, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Dua kawasan di negeri ini iaitu Jelutong dan Kepala Batas kini menghadapi masalah kekurangan tapak untuk tanah perkuburan Islam yang semakin meruncing.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris berkata, isu berkenaan semakin ketara apabila ada kariah masjid yang tidak lagi membenarkan kariah luar mengebumikan mayat di tanah perkuburan mereka atas alasan sudah tiada ruang lagi.

"Laporan akhbar tempatan mendedahkan tanah kubur yang semakin tidak mencukupi dihadapi oleh penduduk di Jelutong sehingga ada yang sanggup menempah awal tanah perkuburan untuk diri mereka sendiri.

"Di Kepala Batas pula, kekurangan tanah kubur menjadi satu daripada masalah yang perlu dihadapi oleh penduduk setempat. Ini kerana lokasi tanah perkuburan semakin sempit dan dipenuhi jenazah yang dikebumikan lebih dari 100 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menggambarkan betapa tanah-tanah di kawasan bandar di negeri ini kini semakin tidak mempunyai ruang untuk dijadikan kawasan perkuburan, namun yang peliknya masih ada pula kawasan yang 'disimpan' untuk dibina bangunan bertingkat, kawasan perumahan, bangunan kedai dan kilang.

"Persoalan yang timbul sekarang apa berlaku dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang dalam aspek pengurusan mayat di negara ini sekiranya tanah perkuburan yang ada semakin sempit. Mengikut hierarki penempatan, keluasan tanah perkuburan setiap satu kawasan kejiranan ialah 5,000 ke 10,000 orang dan ia memerlukan tanah seluas satu hingga dua hektar," katanya.

Sehubungan itu katanya, CAP mencadangkan agar diwujudkan satu kawasan tanah perkuburan khusus di setiap kawasan yang dirancang untuk jangka panjang bagi beberapa generasi.

"Ia harus dilaksanakan mengikut hukum dan cara yang betul dan bukannya melakukan pengebumian yang penuh dengan kemegahan serta terdapat unsur khurafat melalui pembinaan batu-batu nisan dan tembok kekal.

"CAP berpendapat kaedah pengebumian jenazah yang diamal di Ma'ala atau Perkuburan Baqi di Madinah patut dijadikan contoh. Membina makam dengan konkrit simen, ruang yang dibeli serta perhiasan batu tanda bukanlah perkara betul. Begitu jugalah apabila dibuat upacara memuja keramat dan wali," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment