My Add

Wednesday 7 August 2013

Mati akibat denggi meningkat

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Jumlah kematian akibat demam denggi yang dicatatkan setakat Ogos tahun ini meningkat sebanyak 23 peratus kepada 32 kes berbanding 26 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, kes kematian terbaharu dilaporkan berlaku di Johor melibatkan seorang pemandu lori berusia 26 tahun.

Katanya, pesakit mengalami gejala demam, muntah, sakit otot dan sendi telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi meninggal dunia disebabkan Dengue Shock Syndrome.

"Hasil pemeriksaan pembiakan nyamuk aedes yang dijalankan di kawasan kediaman pesakit mendapati nilai indeks Aedes adalah tinggi iaitu 7.3 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Lokman Hakim memberitahu, sebanyak 654 kes denggi dilaporkan pada minggu ke-31 bermula dari 28 Julai hingga 3 Ogos lalu yang mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan kes berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan sehingga 3 Ogos lalu adalah sebanyak 16,054 kes, meningkat sebanyak 19 peratus atau 2,521 kes berbanding 13,533 kes bagi tempoh sama 2012.

"Terdapat empat negeri menunjukkan peningkatan bilangan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu di Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 37 kes, Negeri Sembilan sejumlah enam kes manakala Labuan serta Pulau Pinang pula masing-masing mencatatkan dua kes.

"Berdasarkan analisis pihak kementerian, sebanyak 145 lokaliti hotspot berlaku di 11 negeri di seluruh negara melibatkan 82 lokaliti di Selangor, 35 di Johor, sembilan di Kuala Lumpur serta Putrajaya, lima di Perak, tiga di Negeri Sembilan, dua di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan dan Pahang manakala Melaka mencatatkan satu lokaliti," jelasnya.

Berikutan itu, Dr. Lokman Hakim menyeru masyarakat mengambil peluang bersempena musim perayaan yang bakal tiba untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah supaya bebas daripada pembiakan aedes.

"Pastikan bekas-bekas yang digunakan seharian seperti kolah, tong, baldi dan lain-lain bekas tiada pembiakan aedes," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment