My Add

Saturday 3 August 2013

MB Johor garis 3 langkah tambahbaik perkhidmatan

 Khaled Nordin
NUSAJAYA, KUMAAT, 02 Ogos, 2013: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menggariskan tiga langkah untuk penambahbaikan perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata langkah pertama adalah penjawat awam negeri perlu mengamalkan nilai keterbukaan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan mereka.

"Antaranya keterbukaan untuk mengubah cara berfikir kepada lebih kreatif dan inovatif; budaya kerja lebih cekap; meningkatkan kemahiran diri atau 'tambah nilai' kepada organisasi dan keterbukaan untuk membandingkan mutu perkhidmatan dengan pegawai kerajaan dari negara yang lebih maju," katanya.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pegawai Tadbir Negeri Johor 2013 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini, Mohamed Khaled berkata beliau yakin jika perkara tersebut dapat diterapkan, rakyat pasti dapat melihat penambahbaikkan mutu perkhidmatan itu nanti.

Langkah kedua ialah perlu memupuk budaya kerja dan perkhidmatan yang lebih telus, berintegriti dan akauntabiliti yang merupakan jambatan penghubung kepada proses pembangunan prorakyat sepanjang masa.

Langkah terakhir, katanya mereka perlu melaksanakan pendekatan komunikasi dua hala yang berkesan dengan memandang serius maklum balas dari rakyat bagi melestarikan perkhidmatan yang cemerlang.

Katanya maklum balas rakyat penting bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak mereka tetapi juga untuk melaksanakan pandangan mereka yang relevan, signifikan dan praktikal.

"Jika tiga langkah itu dapat diterjemahkan, saya positif bahawa mutu pegawai tadbir atau penjawat awam negeri ini akan menjadi contoh terbaik dan menjadi ikutan pihak swasta dan negara jiran, sekali gus menolak tohmahan yang tidak berasas dan kata-kata yang sering dipalitkan kepada pegawai kerajaan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment