My Add

Monday 12 August 2013

MCPF: Tubuh Unit Integriti langkah bijak

KUALA LUMPUR, AHAD, 11 Ogos , 2013:Langkah kerajaan menubuhkan Unit Integriti di setiap agensi awam sebagai inisiatif menumpukan pengurusan isu-isu berkaitan kewibawaan kakitangan awam merupakan usaha bijak dalam memerangi rasuah.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, unit itu harus dilaksana secara bersungguh-sungguh dan perlu berperanan penting dalam memastikan keberkesanan mengawal jenayah rasuah.

Malah, menurut beliau, unit itu juga dapat membendung salah laku jenayah, pelanggaran tatatertib dan etika organisasi dalam kalangan penjawat awam.

"Nilai-nilai moral, beretika dan integriti adalah penting supaya kita mempunyai sebuah pentadbiran yang bersih, cekap dan telus.

"Penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan awam yang beretika, cekap dan berdedikasi, malah perlu memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaffar berkata, kira-kira 700 Unit Integriti dijangka ditubuhkan membabitkan semua agensi kerajaan dalam usaha memastikan kalangan penjawat awam di negara ini mengamalkan budaya kerja lebih beretika.

Sementara itu, Lam Thye berkata, nilai-nilai murni, etika dan integriti perlu diterapkan kepada golongan muda seawal di peringkat sekolah.

Tambahnya, media juga berperanan memberi kesedaran mengenai keburukan rasuah dan impak negatif terhadap negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment