My Add

Monday 5 August 2013

Mohon RM16 juta bina jambatan baharu di Kuala Krai

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU, AHAD, 04 Ogos, 2013: Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPnK) akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM16 juta untuk membina jambatan baharu dan menaikkan aras jalan utama di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai.

Pelaksanaan projek tersebut bagi mengatasi masalah jalan berkenaan yang merupakan laluan utama antara Kota Bharu-Kuala Lumpur, kerap dinaiki air sehingga terputus hubungan akibat terlalu rendah.

Pengerusi MTPnK, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penduduk di kawasan tersebut dan penguna kerap terputus hubungan setiap kali hujan lebat kerana air akan memenuhi jalan berkenaan.

Katanya, masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama sehingga menyukarkan pengguna terutamanya mereka yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.

"Oleh kerana ini laluan utama, masalah banjir ini perlu kita atasi, melalui perbincangan

yang dilakukan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak RM16 juta diperlukan untuk bina satu jambatan baharu, meninggikan aras jalan dan kerja-kerja naik taraf.

"Pembinaan jambatan itu akan mampu mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan ini. Kita akan memohon kepada Kerajaan Pusat supaya memberi keutamaan kepada projek ini. Permohonan akan dikemukakan selepas hari raya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTPnK di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment