My Add

Friday 9 August 2013

MRT: Jalan Seksyen 16/11 PJ ditutup 13-16 Ogos

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Ogos, 2013: Sebahagian Jalan Seksyen 16/11 di antara persimpangan Jalan Dato’ Abu Bakar dan Phileo Damansara I akan ditutup sementara mulai 13 hingga 16 Ogos.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan laluan sepanjang 200 meter itu bagi memudahkan penempatan semula utiliti di hadapan stesen minyak BHP lama.

Semasa penutupan itu, pemandu yang melalui Jalan 16/11 menuju ke arah Petaling Jaya akan dilencongkan ke lorong paling kiri jalan selari Phileo Damansara dan Hotel Eastin (selari Lebuhraya Sprint).

Pemandu akan bertemu Jalan 16/11, selepas stesen minyak BHP lama.

MRT Corp berkata penutupan sementara itu merupakan antara langkah keselamatan penting yang diamalkan di semua tapak pembinaan MRT.

Ia bagi memastikan agar risiko kecederaan awam dapat dikurangkan.

Oleh itu, pemandu diingatkan supaya berhati-hati dan mematuhi papan tanda serta had laju yang ditetapkan.

"MRT Corp memohon maaf atas sebarang kesulitan sementara ini, berikutan pembinaan kemudahan pengangkutan bertaraf dunia yang akan memberi manfaat kepada Malaysia secara keseluruhannya," katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang MRT www.mymrt.com.my, Twitter@MRTMalaysia atau talian 1800-82-6868. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment