My Add

Monday 5 August 2013

Muhyiddin hadiri majlis pelantikan Presiden Iran

TEHRAN, AHAD, 04 Ogos, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang ketujuh, Hassan Rouhani di Bangunan Parlimen di Tehran, hari ini.

Beliau menyertai beberapa presiden, perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta speaker parlimen dari lebih 50 negara pada majlis pelantikan imam beraliran sederhana itu.

Hassan, 64, yang dilihat menonjolkan kesederhanaan dan kebijaksanaan menang Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 14 Jun lepas dengan meraih 50.7 peratus atau 18.6 juta undi daripada jumlah keseluruhan 36.7 juta undi.

Pesaing terdekatnya, Datuk Bandar Tehran, Mohammad Baqer Qalibaf pula jauh ketinggalan apabila sekadar menerima 16.55 peratus undi iaitu jumlah kedua terbanyak.

Hassan menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang merekodkan pelbagai dasar bercanggah sepanjang lapan tahun mentadbir.

Pemantau berharap pentadbiran presiden baharu itu akan menghasilkan penyelesaian diplomatik berhubung isu nuklear yang mencetuskan ketegangan antara Iran dan Barat, selain peningkatan ekonomi negara serta penyelesaian pelbagai isu sosial yang membelenggu Iran.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman mendarat di Lapangan Terbang Mehrabad kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) selepas hampir lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur.

Muhyiddin turut menghadiri majlis berbuka puasa di Saadabad Palace malam ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment