My Add

Sunday 11 August 2013

Murid tahun tiga hancur jari

Oleh YULPISMAN ASLI

KOTA BHARU, SABTU, 10 Ogos, 2013: Kegembiraan seorang murid tahun tiga meraikan 1 Syawal bersama rakan-rakannya kelmarin, berakhir dengan tragedi apabila ibu jarinya hancur akibat bermain mercun.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Muhammad Faris Aizat, 9, yang masih lengkap berbaju Melayu dengan samping dan songkok, terpaksa beraya di Hospital Tumpat.

Muhammad Faris kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut.

Menurut ibunya, Yusnani Abdullah, 38, ketika insiden berlaku, dia tiada di tempat kejadian kerana pergi menziarahi kubur.

"Dia (Muhammad Faris) bermain bunga api dan mercun bersama rakan-rakan di Taman Seri Periuk, Tumpat iaitu di rumah sanak saudara bapanya.

"Saya mendapat panggilan daripada saudara memberitahu mengenai kejadian itu dan kami bergegas pulang membawa Muhammad Faris ke Hospital Tumpat," katanya ketika ditemui di HRPZ II hari ini.

Yusnani memberitahu, ibu jari kanan anaknya hancur sehingga paras bawah kuku dan menampakkan tulang dan jari tengahnya pula terkoyak.

Katanya, doktor akan membuat pembedahan untuk menampal semula kulit dan isi yang hancur tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Muhammad Faris menghidap batuk dan selesema.

"Ini pengalaman pertama saya beraya di hospital dan dia merupakan satu-satunya anak saya yang cedera bermain mercun," katanya yang berasal dari Chabang Empat, Tumpat.

Muhammad Faris yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik mengakui bahawa pengalaman hari raya pertama tahun ini amat mengerikan.

"Lepas mercun tu meletup, saya tengok jari saya hancur dan banyak darah. Saya takut dan menangis.

"Saya jerit minta tolong daripada saudara yang ada di situ kerana tangan saya ketika itu rasa sakit sangat," katanya sambil memberitahu dia serik untuk bermain mercun selepas ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment