My Add

Tuesday 6 August 2013

Musa dapat sokongan UMNO Sabah jika tanding Naib Presiden

 Musa Aman
KOTA KINABALU, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Musa Aman diyakini akan mendapat sokongan padu daripada UMNO Sabah sekiranya berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, semua orang mempunyai pandangan dan apa sahaja keputusan Musa Aman adalah terbaik untuk rakyat Sabah dan parti.

"Saya percaya sekiranya Ketua Menteri mahu bertanding Naib Presiden beliau akan mendapat sokongan kuat Sabah.

"Bagaimanapun terpulang kepada Musa untuk membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak jawatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd. Arifin Arif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Mohamad Alamin.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menyatakan Musa adalah calon yang ideal dan tepat dari negeri ini untuk bertanding satu daripada tiga kerusi Naib Presiden pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, Musa merupakan pemimpin berpengalaman dan terbukti cemerlang apabila mengekalkan kuasa BN di negeri ini dengan mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tambah Salleh, UMNO Sabah akan berdiri teguh di belakang Musa sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO itu.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO, Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, dengan kesibukan masa sebagai Menteri Kabinet beliau tidak berhasrat bertanding jawatan itu.

"Kalau mengikut nafsu manusia semua mahu tetapi secara hakikatnya saya tidak punya masa yang cukup dan mesyuarat Kabinet pun saya cuma dapat hadir kemungkinan dua kali sebulan," katanya.

Sementara itu, Anifah berkata, pada masa ini beliau belum membuat keputusan sama ada mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kimanis dalam pemilihan parti akan datang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment