My Add

Wednesday 21 August 2013

NGO sambut baik pelantikan empat Wanita UMNO

 Shahrizat Jlalil
KUALA LUMPUR, SELASA. 20 Ogos, 2013: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pelantikan empat pemimpin Wanita UMNO sebagai pembuat keputusan dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (Nawem), Sarojini Ruth Rajahser berkata, sumbangan Wanita UMNO terhadap negara bukan sedikit dan tidak boleh diketepikan.

"Oleh itu, kami mengalu-alukan pelantikan pemimpin itu dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bagi Pembangunan Usahawan Wanita dan Ikhtisas yang bertaraf menteri dan tiga lagi pemimpin pergerakan itu.

Setiausaha pergerakan itu, Datuk Rosni Sohar dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi menggantikan kekosongan bekas Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim dan Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman sebagai Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Selain itu, Exco Wanita UMNO, Datuk Jamelah A. Bakar dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KUB Malaysia Berhad.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wanita Kelantan Malaysia, Datin Siti Maryam Ibrahim berkata, pelantikan empat wanita itu tepat pada masanya dan menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan kaum hawa.

"Ini menunjukkan Perdana Menteri tidak pernah melupakan jasa serta sumbangan mereka dalam pembangunan negara. Kami yakin mereka mampu menjalankan tugas itu dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Power Malaysia, M. Mohana berkata, pelantikan itu turut meningkatkan keyakinan dan peluang kepada wanita untuk menyandang jawatan yang tinggi.

Katanya, keempat-empat wanita itu adalah tokoh yang berpengalaman dan berkaliber serta mampu membangunkan golongan wanita dalam pelbagai sektor. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment