My Add

Saturday 3 August 2013

NGO Selatan Thai rayuan keselamatan kepada Malaysia

PATTANI, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di selatan Thailand meminta bantuan Malaysia untuk melindungi penduduk Pattani, terutamanya bekas tahanan kes keselamatan daripada menjadi mangsa keganasan yang semakin menjadi-jadi, walaupun wujud gencatan senjata.

Jaringan Menegak Keadilan untuk Kedamaian (JOP) bersama NGO Pattani (selatan Thai) telah menyerahkan surat rayuan tersebut kepada Konsulat Besar Malaysia di Songkhla.

Thammarat Alilateh, Setiausaha JOP berkata, mereka meminta Malaysia sebagai fasilitator dan orang tengah dalam konflik di selatan Thailand, supaya mendesak kerajaan Thai agar prihatin terhadap nasib penduduk Patani.

Menurut beliau, dalam tempoh rundingan antara wakil kerajaan Thai dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) berlangsung dua orang anggota JOP telah dibunuh.

Kesemuanya lima anggota JOP telah ditembak dengan empat orang terbunuh dan seorang cedera parah, katanya kepada media.

Beliau berkata, surat rayuan yang pernah mereka hantar kepada kerajaan Thai juga tidak mendapat jawapan.

''Sebaliknya, seminggu kemudian saya ditangkap dan ditahan selama tujuh hari,'' jelas beliau.

Seorang lagi wakil NGO dan aktivis muda Pattani, Tuwaedania Tuwaemaengae daripada Lembaga Pattani Raya (LEMPAR) mendakwa terdapat kejadian rakyat dibunuh di luar undang-undang (Extra Judicial Killings).

Asiyah Chaekachik, wakil guru Tadika, berkata: "Saya sendiri pun rasa tidak selamat. Sebagai contoh satu kes yang berlaku terhadap kawan saya, beliau sedang hamil tujuh bulan dan ditembak mati".

Beliau berkata, mereka memang mengharap dan menaruh penuh kepercayaan terhadap kerajaan Thai untuk menjaga keselamatan tetapi pembunuhan terhadap guru tadika menghancurkan harapan mereka terhadap kerajaan Thai. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment