My Add

Monday 12 August 2013

Noh Omar tanding jawatan MT UMNO

 Noh Omar
SHAH ALAM, AHAD, 11 Ogos, 2013: Badan Perhubungan UMNO Selangor sebulat suara menghantar dua wakil bagi merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti bermula September ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, bagi pemilihan tersebut, beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Ahli MT manakala seorang lagi calon yang akan turut bertanding jawatan tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamad Satim Diman yang juga bekas Ketua Pembangkang negeri.

"Mesyuarat pertama barisan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor yang baharu hari ini bersetuju memberikan sokongan kepada dua wakil daripada negeri ini untuk bertanding jawatan MT.

''Kita tidak bertanding ramai kerana Selangor kita kalah, sebab itu kita mahu memberikan tumpuan penuh untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini, baru-baru ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, mesyuarat tersebut turut memutuskan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri menggantikan Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro yang juga ADUN Jeram dilantik Ketua Penerangan UMNO Selangor yang baharu menggantikan Abdul Shukor.

''Kita mengambil keputusan mengekalkan Datuk Fateh Iskandar FD Mansor sebagai Bendahari UMNO negeri. Dalam mesyuarat hari ini kita berbincang dalam suasana penuh semangat kekeluargaan dan menguatkan azam untuk mempersiapkan parti menghadapi PRU-14," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment