My Add

Thursday 8 August 2013

Op Selamat: Jangan salahkan polis

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN, RABU, 07 Ogos, 2013: Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, orang ramai tidak seharusnya menuding jari kepada pihak polis jika Op Selamat yang dilancarkan gagal mencapai matlamatnya.

Beliau yang kesal dengan sikap sesetengah pihak mempersoalkan keberkesanan Op Selamat berikutan banyak nyawa terkorban walaupun baru masuk hari ketujuh hari ini berkata, kritikan sedemikian sebenarnya tidak membantu dalam mengurangkan kadar kemalangan.

Sebaliknya, menurut beliau, tanggapan itu sedikit sebanyak memperkecilkan usaha pihak berkuasa dalam mengawasi keadaan itu daripada terus berlaku.

"Op Selamat yang kita adakan ini bukanlah untuk menyusahkan orang ramai tetapi ia bertujuan memastikan keselesaan mereka pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan. Adalah tidak wajar bagi mereka mengatakan program itu gagal sambil menuding jari ke arah pasukan keselamatan.

"Mereka adalah pemandu dan segala tanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga juga terletak di bahu mereka. Jadi, pastikanlah mereka membuat persediaan yang rapi sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama pasukan Emergency Response Team (ERT) di Hentian Sebelah Nilai arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini semalam.

Ditanya mengenai kesiapsiagaan pihak berkuasa dalam mengawasi keadaan lalu lintas dalam tempoh sebelum Aidilfitri, Abdul Aziz berkata, pemantauan akan dibuat di semua laluan berisiko bagi memastikan keselesaan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman.

Namun, katanya, pihaknya menjangkakan keadaan trafik akan berjalan dengan lancar memandangkan sebahagian besar orang ramai telah pun pulang ke destinasi masing-masing sejak Jumaat lalu.

"Pengawasan pihak berkuasa akan terus dijalankan di lebih 140 lokasi yang ditetapkan untuk pemantauan dan pasukan lain seperti ERT juga akan ditempatkan bagi tujuan memberikan pertolongan dan menyelamat sekiranya berlaku sebarang kemungkinan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment