My Add

Thursday 22 August 2013

Ops Harga: 1,543 tindakan undang-undang diambil

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Sebanyak 1,543 tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga sepanjang Ops Harga serta Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 dilaksanakan sejak Julai lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, sebanyak 231,387 pemeriksaan dilakukan terhadap premis perniagaan di seluruh negara sepanjang operasi itu.

Tindakan undang-undang telah diambil ke atas peniaga yang melibatkan ketidakpatuhan mengenai penandaan harga barangan, penggunaan alat timbangan yang tidak tepat dan penjualan barangan melebihi harga yang ditentukan oleh kerajaan, kata kementerian dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu melibatkan rampasan sebanyak RM472,067 selain kompaun berjumlah RM138,080. Ops Harga 2013 bermula pada 6 Julai hingga sekarang di seluruh negara bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasikan harga dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian.

"Pada masa sama, kementerian terus melaksanakan kawalan harga musim perayaan di mana Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 dilaksanakan dari 26 Julai hingga 11 Ogos lepas bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan ketika permintaan meningkat menjelang perayaan," kata kenyataan itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment